Showing posts with label Ingatan untuk diri. Show all posts
Showing posts with label Ingatan untuk diri. Show all posts

Sunday, February 23, 2014

Semoga esok lebih baik


Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Semoga yang baik-baik sahaja untuk kamu semua. Saya sudah berjaya mengabaikan blog yang saya sangat sayang ini selama setahun, biasanya ada juga entri satu dua sebulan tapi sekarang sebulan sekali pun macam susah. Sejak menggunakan smartphone ni, saya amat jarang nak bukak laptop sebab semua pun boleh buat dari phone je. Dulu nak bukak email kena bukak laptop, sekarang tak payah dah. Haha, saya letakkan kesalahan semuanya atas phone saya boleh.

Semiga semua lebih baik
Semoga yang baik-baik sahaja
Tahun baru ni alhamdulillah saya mendapat pengkhabaran gembira. Akhirnya ada sedikit perubahan dalam kerja saya, semakin bertambah tanggungjawab saya nampaknya. Walaupun masih belum official, saya sudah terasa kepenatannya. Betul kata pakcik spiderman, 'with great power comes great responsibility'. Dua minggu ini saya sangat stress. Tak tahu dimana silapnya mungkin kerana cuaca yang agak ekstrem sekarang ni atau kerana perubahan beberapa perkara di office, hampir setiap hari saya melalui masalah yang sama.

Awal tahun ini saya sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti sampai saya rasa tiada masa rehat.Setelah berminggu-minggu sentiasa keluar akhirnya minggu ini saya berehat-rehat sahaja di rumah tapi tiba-tiba terpaksa ke office jugak malam ni, haihhh rasa macam nak menangis je. Semoga hari-hari gelap seperti ini cepat berlalu.


Ok la, sudah-sudah la cerita pasal office kan. Saya stress tapi insyaAllah saya masih boleh tahan lagi. Nanti bila semua dah stabil, hidup saya kan kembali tenang. Doakan saya kuat melalui fasa ni dan kekal positif sentiasa. Saya pun dah tak tahu nak tulis apa lagi, harapnya saya akan rajin menulis entri seperti dulu. Lama tak menulis rasa rindu tapi malas nak bukak laptop dan menulis dan makin lama makin kurang idea nak menulis.

p/s: Semoga hari-hari yang mendatang untuk kamu juga lebih baik dari semalam.

Wednesday, July 17, 2013

Ramadhan Tiba Lagi

Assalamualaikum...

Ramadhan tiba lagi, Alhamdulillah syukur kerana kita masih diberi kesempatan menyambut bulan ramadhan. Saya tahu sudah agak terlambat untuk saya ucapkan selamat berpuasa, saya baru je berkesempatan menulis entri baru. Semoga ramadhan kita kali ini lebih baik dari yang lalu, InsyaAllah. Harapnya kita tidak sia-siakan peluang menyambut ramadhan kali ini. Jom kita kejar pahala sebanyak yang mungkin bulan ni.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Ramai orang cakap bulan ramadhan baru nak buat baik, baru nak beribadah atau baru nak dekatkan diri pada tuhan. Apa salahnya kan, lebih baik dari tiada apa-apa pun. Mari kita bersangka baik, mana tahu amalan yang bermula di bulan ini membuka hati  untuk beramal sepanjang tahun. Ini bulan yang sangat berkat, bulan doa diterima jadi bukankah lebih baik kita mendoakan semoga amalan baik akan berterusan sepanjang tahun. Renung-renungkan dan selamat beramal, huhu.

Kalau nak menulis pasal puasa ni memang tak habis la. Banyaknya kebaikan tu sampai tak terhitung, bulan ni jugak mengajar kita menjadi lebih sabar kan. Berpuasa pada bulan ramadhan dan puasa tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya - (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan an Nasai). Bulan ni segala amal kita buat akan dapat pahala berganda, jadi apa lagi masa ni la nak kumpul pahala. Saya doakan semoga kita semua mendapa syafaat bulan ramadhan dan juga semoga bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu malam - Lailatul Qadar.

Banner Ramadhan dari Iluvislam

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.

Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya:

Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.

Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.

Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Sumber : Sila klik di Sini
Atas ni saya kongsi satu hadis yang saya dengar dalam ceramah lepas terawih tadi yang ada kaitan dengan bulan ramadhan ni. Semoga menjadi pengajaran dan ingatan untuk kita semua. Saya google je tadi kisah ni, nak cerita balik apa yang ustaz tu cerita saya takut tertingal maklumat yang penting.

P/s: Jom kita kumpul pahala dari bulan ramadhan banyak-banyak (^_^)

Tuesday, June 25, 2013

Hikmah Jerebu

Assalamualaikum...

Apa khabar semua, salam lama tak jumpa di blog Oda yang terpinggir. Sungguh kalau siapa-siapa yang baca blog saya pasti kecewa kan dua tiga bulan ni, saya kemalasan yang amat. Hari ni saya terasa nak menulis blog sebab nak kongsi kata-kata dari Ustaz Pahrol kegemaran saya tentang hikmah Jerebu yang melanda sekarang ni. Hikmahnya adalah kita belajar mensyukuri nikmat hujan itu.

Ya Allah rupa-rupanya Kau berikan kami jerebu agar kami mensyukuri hujan...
Kau hadiahkan kami syukur setelah mendidik kami sabar.
- Ustaz Pahrol -

Hakikat hujan

Betul kan, bila dah jadi macam ni baru kita nak sangat hujan tu turun dan menghargai nikmat hujan tu. Kalau tak asal hujan je kita bising sebab kain tak kering nanti, eh korang tak ek kalau macam tu saya je la yang rasa macam tu, kena muhasabah diri ni. Hujan adalah tanda kekusaan Allah SWT, tanah yang gersang dan kering kontang jadi subur bila disirami hujan. Jerebu yang teruk ni pun InsyaAllah akan hilang dengan turunnya hujan.

Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, Pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
(QS. Fushshilat [41]: 39)

Rasanya semua orang pun tahu kan antara waktu mustajab doa adalah doa ketika hujan turun. Jadi apa lagi bila hujan turun nanti jom kita berdoa (bukan masa ni je, masa lain pun berdoa gak), doakan semoga jerebu ni cepat hilang dan kita boleh kembali melakukan aktiviti seperti biasa. Pulak tu dah nak masuk bulan Ramadhan kan, tak sedap la pulak puasa dalam cuaca tak elok ni kan. Doa masa hujan turun  tu saya tak letak sebab banyak kalau korang google, huhu (hampeh je kan).

P/s: Satu lagi hikmah jerebu ni, budak-budak dapat cuti, huhu. Saya jeles sebab saya masih perlu kerja seperti biasa. :(

Tuesday, March 19, 2013

Semangat yang Hilang

Assalamualaikum...

Apa khabar blog tersayang, saya sangat rindu sama kamu. Tak berniat nak meminggirkan kamu tapi kemalasan melanda diri, di tambah lagi dengan jadual saya yang sangat padat membuatkan saya tak berkesempatan nak menulis entri baru. Jadual buku saya juga sudah agak ketinggalan, sekarang saya ketinggalan empat buku, tak tahu la macam mana nak mengejar jadual saya tu.

Jom cari kembali semangat yang hilang (sambil nyanyi lagu semangat yang hilang XPDC tu)

Macam-macam alasan je ek, saya tak tahu la kenapa kemalasan yang amat melanda diri saya. Ada macam-macam perkara yang saya nak buat bulan ni sebenarnya, nak isi borang LHDN (efiling) lagi, nak memulakan perjalanan mengejar mimpi baru dan ada dua tiga niat yang nak ditunaikan tapi tak ada satu pun saya mulakan lagi. Apa nak jadi la, saya tahu tak baik bertangguh dalam pekerjaan ni tapi bila kemalasan melanda diri susahnya nak memaksa diri menaikan momentum diri, mencari semangat yang hilang.

Saya rasa saya perlu buat perancangan satu-satu ni, selalunya bila saya mahu buat dua tiga perkara pada satu masa saya jadi kelam kabut dan tak tahu mana nak mula dulu. Bila ada banyak perkara yang saya nak buat saya jadi terkejar-kejar nak cepat habiskan kerja padahal tak semua kerja saya tu perlu siapkan dalam masa terdekat, haihh. Kena setkan keutamaan ni, perkara yang penting dan yang perlu didahulukan mesti buat dulu, yang mana boleh buat kemudian kita ketepikan dulu. Hehe semoga semangat diri saya kembali semula ek.

"Bermimpilah, kerena tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu"
-Arai (Sang Pemimpi:Andrea Hirata)-

Macam ni la bila dah tak belajar, kalau dulu saya selalu sibuk jadi bila ada banyak kerja pun saya boleh buat sebab momentum diri tu tak pernah padam. Bila kita membiasakan diri membuat kerja semua akan jadi kebiasaan dan tak rasa tekanan sebab beban kerja yang banyak. Sekarang ni kan banyak bersenang-lenang, tu yang jadi manja sangat tu, penat sikit dah mula bising. Saya bercadang mahu memulakan mimpi baru sebenarnya tapi agak takut mahu memulakan perjalanan maka saya akan cuba memulakan sedikit-sedikit, pelan-pelan kayuh InsyaAllah kita akan sampai ke destinasi.

p/s: Doakan saya melaksanakan mimpi-mimpi saya ek (^_^)

Thursday, February 28, 2013

Senyum

Assalamualaikum...

Salam hari jumaat yang indah buat kawan-kawan. Saya sangat rindu untuk menulis sepatah kata di blog saya yang sunyi sepi ini. Tak ada idea pun nak menulis cuma nak kongsi senyuman dengan korang, harapnya hari jumaat korang semua ceria je ek.

Someone told me 'Senyum tu sedekah even in text"

Bila saya melihat gambar ni je teringat pada kawan saya, katanya "Senyum tu sedekah even in text". Dengan kata-kata macam tu dalam mesej pun dah buat saya tersenyum apa lagi kalau kita menghadiahkan kawan kita dengan senyuman kan. Jadi jom sama-sama kita ceriakan jumaat kita dengan senyum untuk kawan-kawan kita dapat jugak pahala kat kita sebab namanya pun sedekah kan. (^_^)

p/s: Hari terakhir sebelum hujung minggu jadi ceriakan diri awal-awal untuk hujung minggu yang ceria jugak.

Tuesday, January 29, 2013

Oh Suara..


Assalamualaikum...

Selamat kembali bekerja semua, hari ni saya di rumah kerana bercuti sakit. Perubahan cuaca di Kuala Lumpur yang asyik hujan sahaja membuatkan saya sakit tekak dan semalam saya kehilangan suara saya langsung tak boleh bercakap. Saya ke office jugak semalam walaupun tak ada suara dan tengah hari dah balik sebab saya tak boleh buat kerja, maklum la kerja saya ni perlu saya boleh bercakap.

Saya sangat stress tak boleh bercakap ni sebab nak berkomunikasi pun susah, geram sangat tak dapat nak sampaikan apa yang saya rasa. Pulak tu saya ni orang yang sangat suka bercakap jadi memang susah sangat rasanya nak diam tak bercakap. Baru merasai betapa besarnya nikmat boleh bersuara ni, saya memang tak boleh bayang langsung kalau saya tak boleh bercakap. Sebab dah terlalu biasa boleh bercakap kita tak tak menghargai dan bersyukur dengan nikmat yang kita ada. Macam-macam perkara tak boleh kita buat bila hilang suara ni tau jadi mari kita sama-sama hargai nikmat bersuara yang kita ada.

Jom merasa kebahagian dengan mensyukuri nikmat yang Allah beri (^_^)

Bila tak ada suara ni nak menyanyi pun tak boleh tau, hehe saya bukan la suka menyanyi sangat pun tapi kalau dengar lagu selalu la nak menyanyi sama-sama. Sekarang ni saya suka tengok Konsert Les Miserables, lagu-lagu Les Mes sangat sedap buat kita rasa nak menyanyi sama. Kalau saya buat kerja saya suka dengar lagu-lagu dari Les Mes, sekarang ni pun sambil menulis blog sambil dengar lagu Les Mes. Eh bercerita pasal Les Mes la pulak, lari dari tajuk dah ni.

Kagum pulak bila saya fikir yang saya tiba-tiba je hilang suara, Allah nak saya muhasabah diri dengan nikmatNya. Saya tak rasa sakit pun cuma batuk sikit-sikit je tapi langsung tak boleh nak keluarkan suara. Alhamdulillah hari ni dah keluar sedikit suara  walaupun ala-ala Ramli Sarip tapi ok la dari tak ada suara langsung kan. Doakan saya cepat sembuh ek, cuti sehari pun saya sangat bosan kat rumah ni kalau kena cuti lagi saya tak tahu la nak buat apa.

p/s: Saya geram jugak sebab tak boleh menyanyi dalam kereta, hehe saya kalau memandu sorang-sorang kerja dia melalak je dalam kereta.

Sunday, December 16, 2012

Optimis Mengadapi Kehidupan

Assalamualaikum...

Salam rindu untuk kamu semua, saya yang agak sunyi menyepi semenjak dua menjak ni kan. Sunyi sebab buat-buat sibuk je, kemalasan yang amat nak menulis blog. Banyak sangat benda nak cerita dalam kepala ni tu yang jadi tak tertulis entri baru tu. Macam biasa buat ayat konon macam best je setiap kali mula entri kan. Ni pun sebenarnya tiba-tiba je terasa nak menulis blog pagi-pagi buta ni, orang lain buat Qiamullai solat tahajud waktu-waktu macam ni tapi Oda duk memandang skrin laptop, hampeh je.

Semoga perjalanan kita tidak sia-sia (^_^) InsyaAllah

Sebenarnya baru je lepas berbual dengan sahabat baik saya Cik Nuha dan Cik Suhaina, agak lama tak berjumpa jadi banyak la perkara nak diupdates. Macam biasa bila orang perempuan bercakap macam-macam cerita la keluar, cerita tentang kehidupan pun ada jugak. Huhu bunyi macam serius je kan, tak ada la sangat pun rasanya kita selalu jugak bercakap pasal hidup ni hari-hari cuma sedar dengan tak sedar je.

Bila bercakap tentang hidup ni rasa macam nak kembali ke zaman kanak-kanak je. Nak kembali kepada kehidupan yang tak perlu memikirkan banyak perkara, kanak-kanak cuma fikir perkara yang sekarang je, masa depan dan masa lampau memang tak pernah difikirkan. Budak sangat optimis dengan kehidupan, sentiasa berfikir yang baik-baik je.Seronoknya kalau kita boleh jadi macam Peter Pan yang sentiasa menjadi kanak-kanak. Kita boleh belajar dari mereka ni, kadang-kadang kita fikir kita tak boleh buat sesetengah perkara tapi sebenarnya kita boleh kalau kita fikir kita boleh, InsyaAllah.

Whether you Think you CAN or Think you CAN'T, You are Right - Henry Ford
Haha dah mengarut la pulak ek. Berfalsafah di pagi-pagi Ahad ni pulak, nak mempositifkan diri kena lah sentiasa beringat kan. Nak menjadi lebih positif lepas ni dan semoga hidup saya akan lebih bermakna. Ada banyak perkara yang saya takut nak buat sebab takut akan gagal ataupun di tolak selama ni. Lepas ni jom kita jadi lebih positif dan yakin dengan diri sendiri. Minna GANBATTE!!

Alamak saya dah kepeningan ni, tadi sebelum mula menulis entri ni saya makan ubat batuk. Cepat betul kesan ubat ni, dua tiga malam sebelum ni saya tidur awal sangat lepas makan ubat. Saya batuk agak teruk dan lama, bila jumpa doktor katanya terkena 'Bronchitis'. Mula tu ingat penyakit serius tapi sebenarnya biasa je, itu la akibatnya kalau dah sebulan sakit baru nak pergi klinik. Eh dah menyimpang pulak, ok la harus berhenti sebelum menulis perkara yang bukan-bukan nanti.

p/s : Tahun baru bakal tiba dan umur akan meningkat, cuba mempositifkan diri yang bertambah umur jadi pengalaman hidup pun akan bertambah dan kita akan jadi lebih matang. Persoalannya makin matang ke? Huhu fikir la sendiri ek.

Saturday, November 24, 2012

Ujian di bulan Oktober

Assalamualaikum...

Apa khabar sahabat yang membaca blog saya, semoga kamu semua sentiasa ceria hendaknya. Huhu, permulaan entri macam tulis surat kat kawan lama je kan. Bulan Oktober dan November tahun ini adalah antara bulan yang paling memenatkan badan untuk saya tahun ni. Ada peristiwa berlaku di bulan oktober lepas, baru sekarang ni saya rasa rajin nak menulis pasal tu.

Ceritanya bermula ketika saya sedang memandu pulang dari tempat kerja, hari tu saya malas sikit nak keluar awal jadi saya keluar lambat sikit dalam pukul 9 malam. Sedang memandu di MRR2, lagi sikit je nak sampai rumah saya tiba-tiba dilanggar dari belakang. Kejadian tu sekelip mata je, tiba-tiba je kereta saya berpusing kemudian masuk ke laluan kiri jalan dan akhirnya tersadai kat tengah-tengah pembahagi jalan. Saya tak nampak pun kereta yang langgar saya tu dan orang tu pun tak berhenti. Siapa sangka saya akan terlibat dengan kes langgar lari, marah sungguh saya bila memikirkan pasal kemalangan ni. Saya sentiasa mengingatkan orang lain dan diri sendiri supaya menjadi pemandu berhemah, jarang sungguh saya melanggar peraturan trafik tapi disebabkan manusia yang hampeh tu saya menerima pengalaman yang tak berapa seronok untuk dikenang ketika memandu.

Allah know what best for you
Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali terkejut sahaja. Kereta saya agak teruk sebab terangkat ke atas pembahagi jalan. Pening jugak kepala saya memikirkan macam mana nak pergi kerja tak ada kereta ni kan, ye la saya kan kerja agak jauh di ceruk Cyberjaya tu dan rumah di Kuala Lumpu. Pengangkutan awam di Cyberjaya tidak semudah di Kuala Lumpur. Dari rumah saya ke pejabat saya terpaksa menaiki LRT (dua kali sebab kena tukar kat Chan Sow Lin), ERL dan Bas Rapid KL untuk sampai ke tempat kerja. Balik pun melalui kitaran yang sama, sudah biasa memandu menjadikan saya sangat lesu dan penat setiap hari. Saya kagum dengan mereka-mereka yang dah bertahun-tahun menaiki pengangkutan awam, respek la kat korang. Alhamdulillah saya anggap semua ni ujian Allah untuk saya merasai sedikit kesusahan supaya sentiasa ingat padaNya.

Satu perkara yang saya suka degan perjalanan yang panjang ke pejabat saya lebih banyak membaca, sejak saya mula naik bas ni saya dah habiskan dalam 5 buah buku. Keseronokkan membaca buku yang saya rindui sudah kembali, saya jadi kurang sabar untuk mencari bahan bacaan baru. Cakap pasal buku, bulan depan Big Bad Wolf akan kembali membuat pesta jualan besar-besaran di MICC (Mines Convention Centre), pesta tu mula 7 atau 8 haribulan november rasanya, saya agak kurang pasti. Dengarnya memang murah Big Bad Wolf ni, tak sabar pulak saya nak pergi. Saya ingat nak buat list buku untuk dibeli sebab tak nak main beli buku sebab murah je nanti.

Jom kita baca buku (^_^)

Bulan ni pulak saya banyak berjalan-jalan ke tempat-tempat yang menambah ilmu pengetahuan sebab bawak anak sepupu saya jalan-jalan. Kami ke PetroSains, Planetarium dan Pusat Sains Negara, seronok jugak la pergi tempat-tempat macam ni banyak aktiviti yang menyeronokkan. Kalau korang rasa bosan buat benda yang sama pergi la jalan-jalan kat tempat macam ni, orang dewasa pun boleh menikmati aktiviti kat tempat-tempat ni. Nak tahu lebih lanjut sila la ke website diaorang ek. Melencong dari tajuk la pulak ek, hehe jom la kita tutup entri ni.

p/s: Pagi ni saya ke Popular WangsaWalk yang best dan berjaya membeli dua buku yang saya cari dari minggu lepas lagi, ohsemmmm.

Friday, July 27, 2012

Cukuplah Allah Sebagai Penolong

Assalamualaikum...

Salam hari jumaat, selamat hari yang baik-baik. Saya tak ada apa-apa yang nak diceritakan dalam entri kali ni, sempena hari Jumaat penghulu segala hari ni saya nak kongsi satu lagu nasyid yang best. Dengar dan hayatilah lirik lagu dia ek, saya sangat suka lagu ni.



Hasbunallah by Yoga Al’Ghazali ft Ajeng
Hasbunallah

Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir

Ku cuba renungi semua
Detik waktu yang telah berlalu
Menyiksakan pedih dihati
Mengingat keangkuhan diri

Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir

Ku cuba sandarkan jiwa
Hanya pada Allah semata
Hingga rasa beban ku sinar
Sepenuh hati serahkan padaNya

Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir

Cukuplah Allah sebagai Penolong
Dan sebaik-baik Pelindung

Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Hasbunallah wani’mal waakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Lagu ni saya dengar dari IKIM, nyanyian penyanyi dari Indonesia. Saya paling suka pada ayat 'Cukuplah Allah sebagai Penolong dan sebaik-baik Pelindung'. Kadang-kadang kita lupa yang Allah sentiasa di sisi kita, tak pernah lupakan kita jadi mintalah pertolongan dariNya untuk apa sahaja. Semoga kamu semua mendapat keberkatan di bulan penuh syafaat ini, InsyaAllah.

p/s: Hari ni hari pembukaan Olimpik jugak, Oda doakan pasukan Olimpik kita mendapat kejayaan, InsyaAllah (^_^)

Friday, July 20, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum...

Salam Marhaban Ya Ramadhan, selamat menyambut bulan Ramadhan untuk semua. Alhamdulillah syukur kita sempat menyambut bulan kemuliaan sekali lagi, semoga kita berkesempatan menikmati dan mengimarahkannya sehingga ke akhir Ramadhan, InsyaAllah. Memikirkan tentang bulan puasa pun dah buat saya rasa seronok, ada pelbagai perkara nak buat kan. Setahun sekali je kita jumpa bulan yang lebih baik dari seribu bulan ni, buat apa amal kebaikan semua berlipat ganda. Semoga kita semua istiqamah dengan azam kita ek.

Ramadhan sudah tiba.

Sepanjang hari ni saya banyak dengar ucapan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan dan ucapan selamat berpuasa daripada rakan-rakan saya, dengar pulak lagu Rabbani Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan buat saya senyum sepanjang hari. Lagu yang sesuai didengar di awal ramadhan ni, lirik lagu dia pun bagus, saya paling suka lirik "Ia hadir bagai air bah, membasuhi daki dunia." Memang bulan ni bulan yang paling baik untuk membersihkan hati kita, tak ada syaitan yang akan ganggu kita cuma yang ada nafsu kita je (itu pun susah nak lawan jugak). Kalau nak dengar sila la klik kat bawah (^_^).


Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan - Rabbani

Entri saya kali ni saya cuma nak ucap selamat menyambut ramadhan kepada semua, semoga ramadhan ini membawa seribu keberkatan untuk kita. Satu lagi, saya jugak nak minta maaf kalau ada salah silap, kalau ada tersakitkan hati korang atau terkasar bahasa. Akhir kata Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

p/s: Esok nak balik ke Kemaman untuk sambut puasa bersama ma dan abah tersayang, doakan perjalanan kami selamat ek.

Sunday, April 8, 2012

Bahagia

Assalamualaikum...

Apa khabar semua, semoga korang semua sihat-sihat saja. Sangat lama saya tak menulis blog kan, biasa tu seminggu sekali saya menulis jugak tapi kali ni hampir 3 minggu tak ada updates. Saya agak sibuk dengan pelbagai macam kerja dan komitmen, badan penat jadi nak menulis pun malas.

Hari ni 8hb April 2012 adalah kelas saya yang terakhir untuk semester ini dan juga kelas terakhir untuk pengajian sarjana saya. Alhamdulillah perjalanan hampir tamat walaupun masih ada projek dan peperiksaan akhir untuk ditempuhi. setelah berakhirnya kelas tadi saya sedikit sebak, pastinya saya akan merindui rakan-rakan sekelas saya dan juga rindu untuk menghadiri kelas (huhu, poyo je kan bunyi dia). Sepanjang pengajian saya ni, saya tak pernah sekali pun tinggal kelas dan saya amat bangga dengan diri sendiri dengan komitmen ni, Alhamdulillah semoga usaha saya akan membuahkan hasil. Doakan saya berjaya menyiapkan projek saya ek, kalau tak siap ni tak boleh nak graduate gak.


Habis cerita pasal kelas ek, saya sebenarnya updates blog ni sebab nak bercerita pasal benda lain tapi sebab hari ni hari terakhir kelas, nak jugak cerita pasal tu. Tadi saya membaca kata-kata Ustaz Pahroi di Facebook yang sangat menarik (yes saya bukak Facebook ok, cuma jarang updates je), saya akan letak kat bawah nanti kata-kata tu. Betul cakap ustaz tu, kalau ada perkara yang menyakitkan hati kita tak perlu kita ingatkan sebab kita akan sakit dua kali. Suka dengan ayat dia "Apabila ditanya bilakah kita akan bahagia... Jawablah, hari ini!". Saya nak share ayat ni sebab saya harap kita semua akan berbahagia, kita ada Allah yang sentiasa disisi, bila ada orang yang menyanyangi kita macam mana kita tak bahagia kan, apa lagi kasih Allah itu adalah kasih yang paling teratas. Jadi marilah kita semua menjadi insan yang bahagia hari ini (^_^).

"Jangan biarkan tragedi silam menyakitkan kita dua kali. Sekali sewaktu kita mengalaminya, kedua sewaktu kita mengenangnya. Selepas mengambil pengajaran daripadanya, ayuh lupakan.Tidak ada kejayaan untuk mereka yang tidak bermula pada hari ini. Semalam berakhir pada malam semalam. Orang yang sering diganggu masa silam tidak akan mampu melangkah ke hadapan. Apabila ditanya bilakah kita akan bahagia... Jawablah, hari ini!"
Dalam empat, lima bulan ni saya mendapat banyak pengajaran baru tentang kehidupan. Melalui sedikit kesakitan dan kepayahan mengajar saya menjadi lebih kuat. Macam lagu Kelly Clarkson tu, "what doesn't kill you make you stronger". Hidup memang macam ni, kadang-kadang kita akan terjatuh dalam perjalanan, bila kita jatuh kita belajar untuk bangun semula. Pandang sekeliling dan kita akan nampak ramai yang akan menghulurkan tangan membantu, kita ada keluarga dan kawan rapat yang akan membantu kita untuk bangun semula. Dunia tak berakhir bila kita dilanda kesusahan jadi apa yang boleh kita buat adalah meneruskan kehidupan dan belajar menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan. Kalau susah hati jugak tadah tangan dan berdoa sebab Allah sentiasa mendengar doa kita.

Allah has always Three replies to our Dua

1- “Yes”
2- “Yes but not now”
3- “I have a better plan for you”

There is never a “No” so have Faith in Allah and be submissive to His will always
Huhu, jiwang pulak entri ni kan, bila kita lihat kawan melalui saat yang sukar kita pun akan terasa jugak. Kalau kita sendiri melalui saat sukar boleh cuba pujuk hati sendiri tapi bila orang lain yang melaluinya kita cuma boleh memberi sokongan.

p/s: Bila tengok orang susah hati sebab hati dan perasaan ni rasa lebih bahagia tanpa komitmen ni.

Thursday, November 24, 2011

Ujian Lagi

Assalamualaikum...

Salam lama tak bersua dari saya, semoga kehidupan kamu semua baik-baik saja. Saya menulis dalam keadaan melankoli hari ini, macam biasa selagi tak siap projek selagi itu la saya tak tenang. Nasib baik juga hujung tahun ni kerja sangat kurang di office saya, maklumlah kat negeri-negeri atas angin tu semuanya dah mula musim perayaan jadi diaorang semua pun dalam mood cuti. Wawawa, saya pun mau bercuti lagi.



Seminggu dua ni saya agak melankoli dan sedih sedikit kerana sesuatu. Saya anggap apa yang berlaku adalah ujian Allah buat saya. Ujian diberi tandanya Allah sayangkan kita, Allah tak akan beri kita ujian yang tak mampu kita hadapi jadi saya sentiasa berdoa semoga hati saya redha. Dan yang sebenarnya, ujian ini bukan apa-apa pun tapi saya pertama kali melalui ujian begini jadi perasaan saya boleh dikatakan kurang baik. Bila difikirkan balik, apa la sangat ujian yang saya terima ini berbanding berjuta-juta lagi orang di luar sana kan.

"Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi dari kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah" - (Riwayat Muslim)

Bila membaca hadis kat atas ni saya insaf sendiri, walaupun saya jarang mengeluh dengan kehidupan saya sendiri tapi saya kadang-kadang terlintas juga cemburu dengan mereka yang jauh berjaya dalam hidup. Padahal saya rasa saya sudah cukup bertuah kerana sepanjang hidup saya tak pernah melalui hidup susah. Perjalanan hidup saya diatur tuhan dengan begitu lancar, saya belajar di sekolah dan universiti yang baik (UTM yang best, cewahh). Selepas habis belajar Allah murahkan rezeki saya bekerja di tempat yang baik juga, walaupun kadang-kadang ada tak puas hatinya tapi tu biasa la kan. Saya juga dikelilingi oleh keluarga, sahabat dan kawan-kawan yang baik yang sentiasa ada bila saya perlukan mereka. Paling saya bersyukur, kehidupan saya dilindungi Allah dari terjebak ke jalan yang salah, kerana saya tak tahu sekuat mana iman saya menahan godaan.

"Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya," - (Riwayat al-Bukhari).

Kenapa kita tak pernah merasa cukup? Terlampau leka memandang ke atas, maka kita tak nampak segala nikmat Allah kepada kita. Dah banyak kali saya menulis tentang nikmat ni tapi saya sering lupa juga. Jadi konklusinya, mengapa saya perlu bersedih dengan ujian kecil ini. Segala aturan Allah buat saya ada hikmahnya kerana Dia yang tau apa yang terbaik buat kita. Kita hendaklah sentiasa ingat yang semua nikmat itu adalah dariNya, kalau Dia boleh beri maka Dia juga berhak untuk tarik balik nikmat itu. Jadi jom kita sentiasa berterima kasih dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Ya Allah, terima kasih atas nikmat dan kasih sayangMu kepada hambaMu ini. Alhamdulillah bila saya mula ingatkan diri, saya hati saya tenang sedikit.

p/s: Ni melankoli orang yang ada project report kena siapkan tapi malas melampau nak mula menulis report tapi menulis blog rajin pulak, cessss.

Friday, August 26, 2011

Balik Kampung

Assalamualaikum...

Entri terakhir saya sebelum pulang berhari raya di kampung. Alhamdulillah walaupun saya bercuti tak lama untuk raya kali ini, saya dapat juga pulang awal ke kampung halaman. InsyaAllah pagi Jumaat 26 Ogos saya akan bergerak pulang ke Kemaman. Doakan perjalanan saya selamat hendaknya.




Sempena hari raya yang bakal menjelang tiba, saya disini ingin memohon ribuan ampun dan maaf jikalau ada salah dan silap. Selamat menyambut lebaran yang mulia, semoga kita semua beroleh kemenangan. Walaupun syawal bakal tiba harapnya ramadhan tidak akan dilupa, masih ada berbaki 4 hari sebelum berakhir jadi jom kita cuba dapatkan sebanyak mungkin pahala ok.

Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin!
(HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Saya akan bercuti selama seminggu, khamis depan akan kembali ke Kuala Lumpur semula. Selamat bercuti semua dan semoga semua selamat pulang ke kampung masing-masing dan selamat kembali ke Kuala Lumpur nanti. (^_^)

p/s: Saya dapat kad raya pertama dan mungkin yang terakhir untuk tahun ini semalam, huhu.

Sunday, August 21, 2011

Cerita di 10 terakhir ramadhan

Assalamualaikum...

Dah sampai ke 10 terakhir ramadhan kita ek, apa lagi kalau engine dah panas di awal ramadhan harapnya 10 terakhir ni berjalan dengan lancar dan harapnya lebih lagi. Kalau boleh 10 malam terakhir ni kita gandakan lagi amal-amal, kalau tak cuba mendapatkan pahala berganda rugi. Bulan puasa ni, semua amal kebaikkan dapat pahala, bayangkan dengan cuma bersahur kita dapat pahala seperti membaca 50 ayat Al-Quran walaupun cuma makan sebiji kurma dan minum segelas air masak kalau amalan lain apatah lagi kan.

Bulan Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirnya adalah kemerdekaan (dilepaskan) dari neraka
-Riwayat Imam Muslim-

10 malam terakhir ni jugak ada malam kemuliaan - Lailatul Qadar. Saya doakan kita semua dapat bertemu dengan Lailatul Qadar, kalau mahu bertemu kenalah mula mencari. Rasanya kita semua pun dah tahu tentang kelebihan Lailatul Qadar ni kan, jadi tak payah la saya cerita panjang lebar. Kalau pergi terawih hampir di setiap malam ustaz akan ingatkan tentang malam kemuliaan ni.


Kalau dah nak sampai di hujung puasa ni, ramai la yang sedang sibuk dengan persiapan hari raya kan. Masa-masa ni kalau pergi ke SOGO atau Jalan TAR mesti sesak dengan ramai orang. Jadi sekiranya korang adalah diantara mereka semua, sila berhati-hati dan banyakkan bersabar ok. Kita banyak hilang pahala dibulan puasa disebabkan perkara-perkara kecil, bulan puasa ni memang banyak menguji iman sebab bulan ni kita (saya le tu) mudah betul marah-marah, alasannya sebab lapar dan letih. Saya pun sedang belajar cara mengurangkan kemarahan, harapnya saya menjadi lebih sabar di hujung ramadhan ini.

Saya tak bercakap pasal cuti raya tahun ni, biasanya entri saya di bulan puasa banyak bercakap tentang cuti hari raya. Emm tahun ni saya cuti tak lama sebab ada kerja di pejabat, ada projek baru masuk jadi saya harus kembali ke pejabat lebih awal. Hari jumaat, 2hb September saya sudah berada di Kuala Lumpur. Saya sangat sibuk sekarang, harapnya lepas raya nanti kerja akan berkurangan sebab semester satu untuk tahun 2011/2012 akan bermula 17 september nanti jadi saya akan mula sibuk dengan kelas dan tugasan lagi. Doakan saya semoga dapat melalui tahun kedua saya dengan jayanya, InsyaAllah.


Selingan, Lagu Suara Azan oleh Fitri Haris ni sangat best (^_^)

Itu je la cerita yang saya ada setakat ini, nak menulis lebih panjang tapi tak ada cerita menarik. Aura raya dah rasa belum, saya masih belum lagi padahal lagi berapa hari je lagi nak balik kampung ni. Kerja kat pejabat yang banyak buat saya tak rasa ada perubahan samada awal ramadhan atau hujung ramadhan, kejap je hari ni dah masuk hari ke 21. Akhir entri ni saya ingin ucapkan salam 10 terakhir ramadhan buat semua, jom tambah amalan banyak-banyak, manalah tahu kalau kita tak dapat bertemu ramadhan tahun depan.

p/s: Saya rindu nak dapat kad raya, dah lama tak dapat kad (@_@)

Wednesday, August 3, 2011

Updates

Assalamualaikum...

Waa sudah tiga hari kita berpuasa ek, camna dengan prestasi iman korang di bulan ini. Prestasi saya tak kemana-mana pun di awal ramadhan ni. Harapannya semoga prestasi saya bertambah dengan jaya nanti, InsyaAllah.


Di bulan puasa ni saya cuba balik seawal yang boleh jadi maknanya saya keluar dari office tepat pukul 6 petang. Sebenarnya jeles jugak tengok orang lain balik awal dan sempat ke bazar ramadhan tapi kerja saya susah nak balik awal. Ini pun sekarang sebab team lead saya tak ada kat office, dia pergi Hong Kong untuk knowledge transfer. Nanti dia balik mesti lagi sibuk la saya, memikirkan pasal office pun dah buat saya pening. Sebenarnya kalau balik awal sempat la saya terawih tapi kalau lambat mesti berkejar-kejaran.

Perkara yang bagusnya balik lambat sikit kerana sejak puasa ni saya tak pernah lagi ke bazar ramadhan jadi kuranglah sedikit keinginan nak makan macam-macam perkarani. Tapi kesian pulak Rozila je yang kena belikan makanan. Nampaknya bazar ramadhan pertama yang saya akan pergi puasa tahun ni di Kemaman sabtu nanti. Tak sabar pulak rasanya nak balik Kemaman hujung minggu ini.

Sekarang ni saya suka menonton drama Ketika Cinta Bertasbih, seronok sebab drama ni sangat banyak pengajaran dan ilmu yang bagus. Kalau korang ada kesempatan tengok la drama ni tapi kena banyak sikit sabar almaklumlah sinetron kan ada banyak benda yang akan buat kita sakit hati lagi-lagi saya yang sedikit emosional ni.

p/s: Huhu entah apa-apa je entri saya kali ini kan, sebenarnya tak tahu nak tulis apa tapi teringin updates blog.

Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum...

Ramadhan kembali lagi, rasa macam baru je kita berpuasa tahun lepas kan. Exited tak korang tengok penyimpan mohor besar raja-raja yang baru tu, kat rumah saya tadi semua exited dengar pengumuman puasa tu bukan sebab puasa esok tapi sebab penyimpan mohor besar raja-raja yang baru (panjang beno nama jawatan dia) tu. Minggu ni minggu pertama selepas semester 3 saya tamat jadi minggu ini sangat menyenangkan sebab saya tak perlu memikirkan tentang assignment dan peperiksaan. Minggu ini saya sangat seronok sebab dapat berjalan-jalan dan berseronok dua hari ini.


Minggu berpoya-poya sudah tamat, ramadhan dah bermula jadi mari kita kejar pahala ramadhan ek. Tak ada apa yang saya nak tulis hari ini cuma nak ucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak, semoga ramadhan kali ini membawa seribu keberkatan buat kita. Saya kena masuk tidur ni, badan sangat penat sebab berjalan sepanjang hari.

p/s: Jangan lupa semayang terawih ek, bulan puasa je ada kalau tak pergi rugi (^_^)

Thursday, July 14, 2011

Jangan Bersedih

Assalamualaikum...

Tiba-tiba pukul 12 tengah malam ni saya rasa nak menulis entri, mata dah lagi sikit je nak auto shut down ni. Dua minggu ni kat ofis saya kesibukkan yang amat melanda, saya rasa macam ada benda berat je atas bahu saya ni sebab stress. Minggu ni tiap-tiap hari saya balik lambat, macam-macam benda nak kena siapkan kat ofis. Bila la saya boleh kembali ke alam riang-ria suka hati macam dulu ni, haihh.


Betul la orang cakap makin lama kita kerja makin sibuk, yela makin banyak tanggungjawab kan. Saya ni kalau sibuk ditambah dengan stress mudah buat silap. Dua hari lepas saya buat kesilapan yang agak besar di ofis, rasa macam berkurang sikit umur sebab terkejut dan sedih pasal benda tu tapi apa yang berlaku tak boleh nak patah balik, nak tak nak kena la terima kan. Kalau dah buat salah, mintak maaf la, kalau sedih, tabahkan hati. Sama jugak bila kita sibuk kan, cuba curi masa keluar kejap, buat air ke atau pergi buat solat sunat supaya hati tenang. Allah berfirman "ketahuilah dengan mengingati Allah, jiwa kan menjadi tenang."

Sebenarnya itulah penawar kepada segala-galanya, kembali kepadaNya dan InsayaAllah Dia sentiasa bersama kita. Ok la saya harapkan hari-hari korang semua berjalan dengan lancar ok. Kalau tersekat atau dilanda musibah di tengah perjalanan, jangan risau Allah bersama dengan kita.

p/s: Saya kena masuk tidur sekarang kalau tidak kepala saya tak tenang esok sebab mengantuk..

Saturday, July 9, 2011

Aman

Assalamualaikum...

Ketika beberapa peristiwa penting berlaku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, saya juga di Kuala Lumpur tapi di rumah menikmati hari cuti saya. Salahkah bila saya mengambil sikap berkecuali dalam hal-hal seperti ini, saya tak menyokong dan tak membahtah dengan perhimpunan Bersih yang berlaku hari ini. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Kepada semua saya doakan korang berjaya ok.


Sebenarnya saya tak mahu langsung menulis tentang perkara ini tapi macam biasa sebab semua orang berbual tentang perkara ini sedikit sebanyak saya ambil tahu juga. Ibu saya semalam mengingatkan saya supaya jangan keluar rumah dan jangan pergi ke tempat perhimpunan itu, bila disuruh macam tu buat saya rasa nak pergi je, hehe. Emm tapi saya memang bukan orang yang suka menonjolkan diri dan terlibat dengan perkara-perkara macam ini, jadi memang saya takkan terlibat la dengan perkara ini. Saya harap pihak-pihak berkenaan dapat mencapai kata sepakat tentang isu ini, saya pun dah tak tahan melihat drama-drama dalam berita. Saya mahu kita kembali aman seperti biasa (^_^).

Emm apakah yang saya mengarut dalam entri saya hari ni, saya sebenarnya agak bosan sebab dah lama tak duduk di rumah sepanjang hari. Ada tugasan tentang kuasa nuklear yang perlu saya siapkan tapi minda saya memang ambil masa yang agak lama untuk memproses maklumat baru (sebenarnya malas je), jadi dari pagi tadi tak ada satu ayat pun lagi yang saya tulis, kekeke. Uits perjuangan saya juga masih belum selesai, saya tak boleh bermalas-malasan je. Doakan saya semoga saya boleh menghabiskan pengajian saya yek, perjalanan masih panjang lagi, Gambatte Oda!!

p/s: Ada assignment tak siap tapi boleh pulak tengok HBO sepanjang hari, haihhh

Sunday, July 3, 2011

Ujian Kecil

Assalamualaikum...



Hari ini saya diuji dengan ujian yang kecil, agak sedih sebab semuanya atas kelalaian sendiri. Tiada apa yang boleh saya lakukan kecuali berserah kepada Allah sahaja. Semua yang kita miliki hari ini adalah dariNya jadi kalau hilang redha sahaja. Saya pohon semoga hati saya kuat dan tabah dengan ujian ini.

PESANAN - Suhaimi Inteam

Kau dengarkan tiap pesan Rasulullah
Jadikan pedoman agar tak kesesatan
Berselawatlah walau di mana berada
Sebagai tanda kau mengasihinya

Bila kau berselawat
Memuji Rasulullah
Allah pun turut selawat padamu

Jika hartamu dimusnah
Ingat Allah yang memberi

Jika engkau dizalimi

Tenang dan tabah hadapi

Allah Maha Mengasihi
Mendengar rintihan hambaNya

Usah dikejar dunia yang sementara
Bertaubat sentiasa bersihkanlah jiwa

Kau jagalah solatmu
Bersyukurlah selalu
Itu tanda redha segalanya
Hari ini saya mendengar lagu pesanan dari Suhaimi ini berkali-kali, ini adalah lagu pengubat hati saya apabila saya susah hati dan mengingatkan diri sendiri apa yang lebih penting. Ayat 'Jika hartamu dimusnah, Ingat Allah yang memberi' buat saya sedar apa yang kita ada di dunia ini adalah pinjaman sahaja jadi sekiranya ia diambil kita mesti redha dan sabar kerana semuanya hak Allah SWT. Alhamdulillah ujian kecil yang diberi kepada saya hari ni masih mampu saya tahan, kalau tak mampu saya tak dapat ujian ni kan. Saya dah kehabisan ayat untuk ditulis sebenarnya, harap entri seterusnya ceria sedikit ek.

p/s: Ujian yang saya terima kecil sahaja, sedikit sahaja nikmat saya diuji hari ni jadi jangan la risau ek (^_^)

Monday, June 27, 2011

Ketika Cinta Bertasbih

Assalamualaikum...

Salam hari isnin semua, hari ni saya cuti jadi tak terkena 'Monday Blues', huhu. Seronok betul cuti ni, dah lama tak bersenang-lenang di hari minggu. Bateri kereta saya mati jadi hari ni saya ambil cuti sebab nak selesaikan hal kereta dan jugak hantar adik saya (Abe) naik bas sekali. Bila cuti ni, macam-macam hal kita nak buat kan tapi saya cuma harap dapat berehat-rehat dan bermalasan di rumah je. Bila hari-hari keluar rumah ditambah dengan kesesakan di Kuala Lumpur ni buat saya lebih selesa di rumah sahaja.

Poster filem Ketika Cinta Bertasbih 2 ambil dari encik Google

Minggu lepas saya menonton filem 'Ketika Cinta Bertasbih 2' di TV Alhijrah, filem pertama dah best tapi yang kedua lagi best. Saya jatuh cinta dengan Indonesia sebab filem tu, teringin pulak kesana. Terima kasih Mas Habiburrahman sebab menghasilkan karya yang sangat best ni. Ayat-ayat Cinta tak memberi kesan sangat kepada saya jadi saya tak baca la novel Ketika Cinta Bertasbih, cerita ni memang berkesan kepada hati saya. Rugi pulak rasanya tak baca novel dia sekali, tapi saya kurang faham sikit bahasa Indonesia dari buku Mas Habiburrahmah. Kisah Azzam dan Ana yang sangat tabah memang best, kalau korang belum tengok filem ni sila la tengok, saya sangat galakkan korang tengok.


Paling memberi kesan kepada saya adalah kisah ketabahan dan ketekunan Azzam mencari jodohnya tanpa jemu. Bermacam halangan Azzam tempuhi untuk menemui jodohnya, siapa sangka Ana akhirnya milik Azzam, dia akhirnya bersama insan terbaik untuknya. Benarlah jodoh adalah hak Allah, siapa jua jodoh kita semuanya sudah ditentukan. Jadi kepada kawan-kawan dan juga saya sendiri, janganlah risau sekiranya masih belum menemui jodoh. Begitu juga kepada rakan-rakan yang belum dikurniakan zuriat, jodoh korang untuk bertemu anak-anak korang lambat sikit. Jadi sabarlah dan jangan putus asa mencuba, Allah Maha Pemurah InsyaAllah sampai masa korang akan berjumpa dengan insan terbaik untuk korang. Saya doakan kita semua mendapat yang terbaik, InsyaAllah.

p/s: Kalau mengharap jodoh yang baik, diri sendiri pun kena baik jugak, huhu (^_^).