Monday, December 2, 2013

Cerita Merapu di Pagi Hari

Assalamualaikum...

Apa khabar kawan-kawan, harap-harap semua sehat je la ek (uits macam skema ayat karangan surat tak rasmi je). Menulis pada pukul satu pagi di hari isnin ni macam tak kerja je pagi ni ek. Huhu, itulah tiba-tiba je saya rasa nak menulis entri kat blog yang dah lama di anak tirikan ni (emm macam anak terbuang pun ada). Dah alang-alang ada rasa nak menulis ni kan jadi kita teruskan jugak la.

Tak tahu nak cerita apa sebenarnya sekarang ni, biasa kalau saya tak ada perkara nak cerita entri mesti pendek atau merapu yang amat. Saya janji nak tulis pasal trip ke Jepun kan, InsyaAllah saya akan tulis jugak nanti. Itu adalah impian saya sejak bertahun-tahun lamanya. Saya pun dah tak ingat sejak bila saya sukakan Jepun, dah lama yang amat. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi matahari terbit tu rasa macam bermimpi je, kami sampai di sana waktu malam hari dan masa perjalanan ke rumah penginapan tu tengok Jepun macam sama je dengan Malaysia cuma lebih bersih dan sejuk sikit (cehh tu sama ke?). Hehe, betul tak tipu tapi bila siang hari tengok memang lain. Uits tetiba tercerita la pulak, nak sambung tak? Emm takpelah kita sambung nanti dalam entri rasmi tentang Trip Jepun ok.

Nampak muka excited kami sampai di Haneda (mesti korang ingat ni kat KLIA, sama macam KLIA je kan)

Di sebabkan entri ni memang tak ada tajuk spesifik jadi jom kita ubah tajuk lain. Esok, eh malam ni (lupa pulak dah masuk isnin dah) saya akan menonton persembahan Teater Mak Yong yang bertajuk Anak Raja Gondang di Istana Budaya. Ini kali pertama menonton Mak Yong di Istana Budaya, saya sangat teruja kerana saya sangat sukakan teater Mak Yong dan saya juga sangat sukakan persembahan di Istana Budaya. Saya sukakan Mak Yong bukan sebab saya orang Kelantan tapi memang seni persembahan Mak Yong sangatlah menarik bagi saya kalau nak dibandingkan dengan teater biasa. Tak sempat saya nak mempromosikan teater ni sebab hari ni adalah hari terakhir persembahan tapi siapa yang berminat nak tengok malam ni boleh la dapatkan tiket di Kauter Istana Budaya, online ticket dah ditutup rasanya. Tak sabar pulak nak tengok Mak Yong ni, harap-harap tidak mengecewakan.

Emm saya harus berhenti menulis entri sebab saya patut masuk tidur, kalau saya teruskan menulis mesti lama sebab saya tak ada idea nak tulis apa. Semoga berjumpa di lain entri.

P/s: Selamat menikmati bulan terakhir di tahun 2013, tahun terakhir buat saya berada dalam lingkungan umur 20-an (@_@) (haha, motif tiba-tiba je cakap pasal ni?).

Wednesday, November 20, 2013

Testing

Assalamualaikum... Cubaan menulis blog dari phone. Tak ada banyak option untuk edit entri jadi rasanya output ni nanti tak berapa cantik la. Huhu berkurun tak menulis entri boleh pulak buat entri main-main kan. Terasa sangat lamalah tak menulis, rindu yang amat nak menulis entri. Saya teringin sangat nak bercerita tentang trip Jepang yang sangat best itu. InsyaAllah kalau ada kesempatan saya akan tulis tentang tempat-tempat yang kami pergi di sana. Rasanya sampai sini je la entri ni, dah nama pun testing nak tulis panjang-panjang buat apa kan. Doakan saya rajin-rajin menulis entri baru ek. P/s: Jangan marah dengan entri merapu ni ekk, huhu..

Sunday, September 8, 2013

Aktiviti Yang Tak Sudah


Assalamualaikum...

Salam lama tak bersua, rindu sungguh saya nak menulis blog. Disebabkan tersangat lama tak menulis blog (rasanya ni yang paling lama saya tak updates blog), saya buat keputusan untuk cuba menulis dari handphone saya. Tak berapa suka menulis dari phone sebab nanti format tunggang langgang tapi kita tengok la camna nanti ek. Saya lama tidak menulis entri baru kerana kemalasan (memang penyebab utama) dan kesibukkan yang amat dengan persiapan raya, hari keluarga Kemo 2013 dan juga persiapan ke Jepang kami. Huhu sibuk sangat la ek, boleh tahan sebabnya aktiviti silih berganti tu yang sampai tak sempat nak ambil masa buat benda lain.

Saya balik raya seminggu, jadual penuh dengan kenduri je. Raya kali ni ramai buat kenduri kan, hampir setiap hari ada jemputan. Mak saya tu sampai 2, 3 kenduri sehari jemputannya. Selain kenduri, raya ni saya sakit gigi yang amat, spoil raya saya je. Nasib baik raya ke tiga tu dah pegi klinik, kalo tak meroyan la saya sepanjang raya. Masa balik ke Kuala Lumpur Alhamdulillah jalan tak teruk macam selalu jadi kami tidaklah kepenatan tak hengat dunia.

Family Day KEMO 2013 di Janda Baik yang sangat seronok

Kemudian, dua minggu selepas raya adalah program family day tahunan keluarga saya yang kami panggil sebagai KEMO. Tahun ni kami anjurkan luar dari Kelantan kerana dah lama tak buat, kali terakhir di Port Dickson pada tahun 2010. Lokasi kali ni dekat Janda Baik yang aman damai itu, hasil risikan cik Rozila dengan gigihya. Program berlangsung masa minggu merdeka lepas, orang lain sambut merdeka tapi kami bersuka ria main air di Janda Baik.Alhamdulillah tersangat la seronok bercuti dengan ahli keluarga saya yang ramai, bising dan besar-besar itu. Pergi mana-mana pun dengan mereka saya seronok. Rasa macam tak cukup je dua hari satu malam kat sana. Kami semua penat tapi sangat seronok bersuka ria.

Akhir sekali persiapan ke Jepun, sebenarnya tak banyak pun persiapannya tapi sebab saya ni sangat details jadi semua benda saya fikir. Kali pertama saya dan cik Rozila ke luar negara jadi kami harus membuat pasport. Alhamdulillah urusan itu sudah selesai, kami buat di UTC Pudu Sentral, boleh tahan la servis dia cuma ramai orang sikit la. Nasib baik jugak Jepun dah batalkan visa untuk rakyat Malaysia bulan Julai hari tu jadi kami tak payah memikirkan urusan visa itu. 

Tak sabar pulak nak ke Jepun
Minggu ni saya sibuk dengan persiapan akhir ke Jepun, macam-macam perkara nak dibeli dan dicari. Haha macam nak pergi sana empat tahun je kan, tak ada la banyak sangat membelinya tapi sebab kami ni tak tahan sejuk jadi kami shopping jugak la baju sejuk walaupun kami bukan pergi masa winter. Gambar kat atas tu cuma cuba-cuba je, Cik Rozila tak beli baju tebal macam penyelidik Yakult tu (bak kata Suhaina). InsyaAllah kami bertolak ke Jepun pada 21 september ni, doakan perjalanan kami selamat ok.

Itulah sedikit aktiviti saya yang tak sudah, jadual saya sudah penuh sehingga ke hujung tahun. Ada lagi trip ke Penang, raya haji dan majlis kawin BFF saya Cik Suhaina bulan desember ini. Jadi saya sudah tak mahu membuat apa-apa aktiviti yang memerlukan komitmen sehingga hujung tahun ni kerana saya sebenarnya bukanlah orang yang sangat suka berjalan-jalan, dua tiga kali setahun cukuplah. InsyaAllah perancangan aktiviti lain akan disambung ke tahun depan, huhu. 

p/s: Walaupun tak berapa suka berjalan tapi kalau ada orang nak sponsor saya jalan-jalan saya ok aje, haha (>_<)

Wednesday, July 17, 2013

Ramadhan Tiba Lagi

Assalamualaikum...

Ramadhan tiba lagi, Alhamdulillah syukur kerana kita masih diberi kesempatan menyambut bulan ramadhan. Saya tahu sudah agak terlambat untuk saya ucapkan selamat berpuasa, saya baru je berkesempatan menulis entri baru. Semoga ramadhan kita kali ini lebih baik dari yang lalu, InsyaAllah. Harapnya kita tidak sia-siakan peluang menyambut ramadhan kali ini. Jom kita kejar pahala sebanyak yang mungkin bulan ni.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Ramai orang cakap bulan ramadhan baru nak buat baik, baru nak beribadah atau baru nak dekatkan diri pada tuhan. Apa salahnya kan, lebih baik dari tiada apa-apa pun. Mari kita bersangka baik, mana tahu amalan yang bermula di bulan ini membuka hati  untuk beramal sepanjang tahun. Ini bulan yang sangat berkat, bulan doa diterima jadi bukankah lebih baik kita mendoakan semoga amalan baik akan berterusan sepanjang tahun. Renung-renungkan dan selamat beramal, huhu.

Kalau nak menulis pasal puasa ni memang tak habis la. Banyaknya kebaikan tu sampai tak terhitung, bulan ni jugak mengajar kita menjadi lebih sabar kan. Berpuasa pada bulan ramadhan dan puasa tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya - (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan an Nasai). Bulan ni segala amal kita buat akan dapat pahala berganda, jadi apa lagi masa ni la nak kumpul pahala. Saya doakan semoga kita semua mendapa syafaat bulan ramadhan dan juga semoga bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu malam - Lailatul Qadar.

Banner Ramadhan dari Iluvislam

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.

Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya:

Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.

Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.

Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Sumber : Sila klik di Sini
Atas ni saya kongsi satu hadis yang saya dengar dalam ceramah lepas terawih tadi yang ada kaitan dengan bulan ramadhan ni. Semoga menjadi pengajaran dan ingatan untuk kita semua. Saya google je tadi kisah ni, nak cerita balik apa yang ustaz tu cerita saya takut tertingal maklumat yang penting.

P/s: Jom kita kumpul pahala dari bulan ramadhan banyak-banyak (^_^)

Tuesday, June 25, 2013

Hikmah Jerebu

Assalamualaikum...

Apa khabar semua, salam lama tak jumpa di blog Oda yang terpinggir. Sungguh kalau siapa-siapa yang baca blog saya pasti kecewa kan dua tiga bulan ni, saya kemalasan yang amat. Hari ni saya terasa nak menulis blog sebab nak kongsi kata-kata dari Ustaz Pahrol kegemaran saya tentang hikmah Jerebu yang melanda sekarang ni. Hikmahnya adalah kita belajar mensyukuri nikmat hujan itu.

Ya Allah rupa-rupanya Kau berikan kami jerebu agar kami mensyukuri hujan...
Kau hadiahkan kami syukur setelah mendidik kami sabar.
- Ustaz Pahrol -

Hakikat hujan

Betul kan, bila dah jadi macam ni baru kita nak sangat hujan tu turun dan menghargai nikmat hujan tu. Kalau tak asal hujan je kita bising sebab kain tak kering nanti, eh korang tak ek kalau macam tu saya je la yang rasa macam tu, kena muhasabah diri ni. Hujan adalah tanda kekusaan Allah SWT, tanah yang gersang dan kering kontang jadi subur bila disirami hujan. Jerebu yang teruk ni pun InsyaAllah akan hilang dengan turunnya hujan.

Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, Pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
(QS. Fushshilat [41]: 39)

Rasanya semua orang pun tahu kan antara waktu mustajab doa adalah doa ketika hujan turun. Jadi apa lagi bila hujan turun nanti jom kita berdoa (bukan masa ni je, masa lain pun berdoa gak), doakan semoga jerebu ni cepat hilang dan kita boleh kembali melakukan aktiviti seperti biasa. Pulak tu dah nak masuk bulan Ramadhan kan, tak sedap la pulak puasa dalam cuaca tak elok ni kan. Doa masa hujan turun  tu saya tak letak sebab banyak kalau korang google, huhu (hampeh je kan).

P/s: Satu lagi hikmah jerebu ni, budak-budak dapat cuti, huhu. Saya jeles sebab saya masih perlu kerja seperti biasa. :(

Tuesday, June 11, 2013

Rindu budak-budak

Assalamualaikum...

Saya nak menulis entri baru hari ni tapi bila bukak laptop dah malam sangat la pulak jadi buat entri pendek je la. InsyaAllah dalam minggu ni saya akan menulis entri baru, dah lama sangat tak ada entri kan. Untuk entri pendek ni saya nak letak gambar anak-anak sepupu saya yang sangat comel itu. Baru seminggu lebih balik dari Kelantan pun saya dah rindu kat bebudak tu semua. Sangat comel mereka ni, buat saya ketawa je kalau balik kampung.

Aiman (biru), Airil (coklat) dan Icha (merah) yang comel (^_^)

Owwhhh saya rindu mereka-mereka ni, nanti raya baru boleh jumpa balik ni. Airil asyik tanya bila Che Ngah dan Che Teh dia nak balik lagi, bila bagitau lagi dua tiga bulan pening kepala dia nak kira tu, huhu. Ok la namanya entri pendek jadi saya harus berhenti la yek. Daaa.

p/s: Saya rindu kamu jugak wahai blog

Tuesday, May 14, 2013

Pasca PRU13

Assalamualaikum…

Dah lama mahu menulis entri ni tapi kemalasan menguasai diri, haha macam tak biasa ek. Entri ni memang didedikasikan kepada PRU13 yang lepas, kalau tak tahu PRU13 tu apa maknanya korang ni samada bukan orang Malaysia ataupun orang Malaysia yang tak baca berita dan bersosial di dunia maya langsung. Entah apa-apa kan, dah hampir dua minggu mengundi baru nak cerita pasal PRU13. Tu la, dah tahu dah tapi nak jugak bercerita pasal PRU13, bukan pasal mengundi tapi pasal fasa selepas PRU13 tu.

Mula-mula sekali, saya nak ucapkan Tahniah untuk semua yang keluar mengundi, sila beri tepukan untuk diri sendiri sebab korang sudah menunaikan tanggungjawab korang untuk Malaysia. Kali ni 80% rakyat pengundi berdaftar keluar mengundi, tabik dari saya untuk korang semua. Untuk yang berdaftar tapi tak mengundi tanpa sebab yang munasabah saya tak ada apa nak cakap kat korang, haihhh korang dah besar sila fikir sendiri. Dan akhir sekali kepada yang layak mengundi tapi belum berdaftar sila la segera berdaftar, tak susah pun nak daftar ni, tak payah bayar apa-apa pun.

Bangga dengan korang semua pengundi-pengundi Malaysia (^_^)

Apa yang Oda nak cakap pasal fasa selepas mengundi ek, emm korang pun mesti tau apa situasi lepas mengundi kan. Saya rasa tiba-tiba rakyat Malaysia menjadi sangat emosi. Saya faham ada perkara yang korang semua tak puas hati, SPRM kena kutuk dengan teruk sekali. Saya serius tak nampak tang mana masalah masa mengundi tu, semua ok je. Ada tiga pemerhati kot dalam dewan mengundi, setiap kali pegawai SPRM tanda nama kita, yang pemerhati pun tanda jugak dekat senarai masing-masing. Jumlah undi tu kena sama banyak, kalau SPRM tak telus yang pemerhati dari setiap parti dan pemerhati bebas tu pun tak telus tau. Lagipun kalau SPRM nak buat benda-benda yang tak patut ni diaorang buat dengan bijak sikit la kot, takkan la nak buat benda yang obvious macam blackout tu, kalau iye tu plot diaorang serius kurang cerdik punya plan.

Itu pendapat saya sahaja, disebabkan saya tak nampak ketidak telusan tu jadi saya tak nak mempercayai semua ni. Walaupun korang cakap ada banyak bukti dalam internet tu tapi disebabkan benda ni berkaitan dengan politik maka saya tak nak percaya. Banyak benda dalam internet yang tak betul dan di buat-buat, selagi saya tak nampak dengan mata sendiri saya pilih untuk tidak terjebak. Bukan apa, bila bercakap pasal politik ni sampai esok pun tak sudah kan. Saya bukan pro kerajaan atau pembangkang, undi saya adalah untuk calon yang layak sahaja, saya tidak mengundi kerana mana-mana parti.


 Lagu Apa-apa Saja oleh Aboi, bagus lirik dia sila dengar sampai habis

Pilihanraya sudah habis jadi boleh tak kita kembali kepada kehidupan masing-masing, rimas saya tengok kita bergaduh sesama sendiri. Sudah-sudah la tu, lima tahun lagi kita kembali berkempen ok, sila fokus untuk majukan Malaysia pulak. Akhir sekali, bak kata Aboi dalam lagu tu,”Buat apa gaduh-gaduh sama kita, Malaysia kita ni kecik aja, kalau semua gaduh siapa nak jaga.”

P/s: Mungkin emosi kita naik sebab cuaca Malaysia yang sangat panas sekarang kot, huhu teori merapu Oda. Sila jaga kesihatan korang, cuaca macam ni mudah kena penyakit.

Sunday, April 21, 2013

Smart Phones

Assalamualaikum...

Kebelakangan ni ramai yang mengajak saya menyertai golongan pengguna smart phones kerana katanya lebih mudah dan banyak perkara yang boleh dilakukan bersama. Walaupun saya berada di dalam bidang IT tapi saya memang tak tahu sangat tentang dunia telefon pintar ni. Zaman berubah dengan cepatnya, dulu telefon besar gedabak bertukar menjadi semakin kecil dan sekarang telefon kembali menjadi besar. Kalau tengok saiz Samsung Note tu saya pun pelik kenapa orang nak guna telefon sebesar tu.

Kenapa saya menulis tentang telefon pintar? Emm..sebab saya rasa teknologi ni membawa perubahan yang sangat banyak kepada kehidupan seharian kita.Dengan perkembangan internet dan telefon pintar ni, kita boleh lihat di mana-mana orang yang asyik dengan telefon mereka, sebelum makan ambil gambar dan muat naik ke media sosial, membaca ebook (yang ni saya suka), bermain mainan (game) yang pelbagai tu, sampai ke destinasi mesti check in dulu dan macam-macam lagi la.

Sekadar gambar hiasan (terima kasih cik Rozila dan Norlina kerana menjadi model saya)
Caption untuk gambar ini : "Mereka yang leka dengan gadget mereka (@_@)"

Kadang-kadang tu bila berjumpa kawan-kawan pun tak bercakap tapi masing-masing menatap telefon sendiri, padahal kalau dalam WhatsApps tu boleh je berbual panjang lebar. Cara kita berkomunikasi berubah seratus peratus. Sampaikan membuat panggilan telefon juga sudah kurang dilakukan, mereka lebih senang bermesej di atas talian. Saya tak kata ini semua tak elok tapi kalau boleh biarlah berpada-pada, kalau semua perkara pun nak di muat naik ke internet tu dah macam obses la pulak. Zaman sekarang memang mengajar budak-budak menjadi narcissistic. Kagum juga dengan mereka yang boleh 24 jam mengadap telefon masing-masing.

Saya selalu juga rasa terpinggir bila keluar makan dan mereka-mereka semua leka dengan telefon masing-masing, nasib baik saya sentiasa membawa buku kemana-mana saya pergi jadi selalunya saya akan buka buku saya dan membacanya. Nasib baik jugak kawan-kawan rapat saya tak obses dengan telefon ni, agaknya kami ni memang orang lama yang tak berapa pandai nak menyesuaikan diri dengan teknologi pintar ni. Kalau keluar kami jarang melihat telefon masing-masing, apa la gunanya buat rancangan keluar bersama kalau tak ada komunikasi kan.

Sentiasa bersedia, penyelamat saya kalau kebosanan

Kadang-kadang tu ada jugak perasaan memandang rendah telefon sendiri (kesian kamu telefon, tuan sendiri malu dengan kamu), lagi-lagi bila saya keluar dengan adik-adik ofis saya yang memang semua menggunakan telefon yang canggih-canggih ni. Saya memang bercadang menukar telefon baru sebab telefon sekarang kadang-kadang buat hal tapi saya sedikit sayang dan ragu-ragu kalau saya juga nanti akan terjebak dengan dunia mereka itu, haha. Telefon baru juga termasuk dalam senarai mimpi saya yang baru saya tulis kat atas blog saya ni. Jika saya bertukar kepada smartphone nanti saya harap saya tidak terlalu obses dengan semua ni jugak.

Saya pilih Lumia 820 kalau saya bertukar telefon sebab saya tak nak pakai telefon yang sama macam semua orang pakai, haha motifff??

p/s:  Sebenarnya saya suka Lumia 820 sebab saya jatuh cinta dengan warna-warna telefon ni dan windows 8 tu.

Tuesday, April 16, 2013

Jom Berkata Baik

Assalamualaikum...

Demam pilihanraya makin terasa kan, sekarang di mana-mana pun kita nampak bendera-bendera terpacak di sepanjang jalan. Hari ni dalam perjalanan balik tadi saya ternampak belon 'Barisan Nasional' yang sangat besar, bentuk empat segi belon tu. (kenapa bukan bulat, kan lagi comel belon yang bulat). Apa pun, itu bukan yang saya nak cerita dalam entri ni, Saya nak membebel bercerita tentang penyokong fanatik parti politik ni, ehh isu sensitif nampak cik Oda, huhu. Ops saya bukan nak cerita tentang mana-mana parti ek, seperti biasa undi saya adalah rahsia jadi entri ni bukan nak meyebelahi atau menyalahi mana-mana pihak kecuali yang terasa pedasnya sahaja.

Saya faham korang sedang semangat untuk menyampaikan kempen kepada umum dan korang sangat pasti dengan perjuangan parti masing-masing tapi perlu kah kita mengutuk sesama sendiri. Buruk bebeno tengok orang tua saling memburukkan sesama sendiri macam budak sekolah rendah main ejek-ejek nama ni. Bukan tu saje tu, siap dengan rajinnya buat photoshop lagi gambar-gambar dan ayat-ayat semua tu, gigih sungguh. Ni kalau dulu guna kesungguhan ni untuk belajar rajin-rajin negara kita tak ada dah masalah kekurangan doktor lama dah.

Ye, diam lebih baik dari berkata tak baik ni

Saya ada baca tulisan Ustaz Pahrol tentang perbezaan pendapat, dalam artikel tu ada cerita tentang Imam Safie rhm yang pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga." Kan bagus tu kalau kita pun macam tu, tak semestinya apa yang kita rasa je yang betul. Semangat tu dah bagus dah tapi tak boleh ke kalau kita berkempen dengan cara yang nampak pandai sikit. Saya tahu semua ada medium kempen yang bagus-bagus, ada manifesto dah semua jadi boleh je kalau dalam ceramah tu tak kutuk sesama sendiri, serius tak nampak cerdik pun mengutuk orang lain ni. Kan lebih baik kalau kita berkata baik je, banyak perkara elok yang boleh dikongsi.

Saya dah naik muak dengar benda-benda macam ni sebenarnya, kalau bukak facebook tu lagi la sakit kepala baca status orang yang tabsub ni. Boleh je korang nak tulis pendapat korang tapi berpada-pada la, tak malu ke kalau anak-anak korang baca status korang tu, kena ingat yang semua yang kita letak dalam internet tu akan kekal disitu. Kita semua nak yang terbaik untuk Malaysia, saya tahu tak ada sorang pun yang nak Malaysia mundur jadi janganlah korang terlalu risau, InsyaAllah semoga yang terbaik menang pilihanraya kali ni. Lagipun kalau korang sangat yakin dengan parti masing-masing tak perlu pun nak mengutuk-ngutuk parti lain tu. Walau siapa pun yang kita pilih dan sokong kita kena ingat yang kita semua adalah saudara sesama islam,

P/S:  Tak kira la UMNO, PAS atau KEADILAN kita semua bersaudara, bak kata abang-abang Rabbani kita semua sujud ke arah satu kiblat yang sama. (^_^)

Thursday, April 11, 2013

Cameron Lagi

Assalamualaikum....

Huhu, saya teruja kerana tarikh mengundi ditetapkan pada 5 haribulan Mei, alhamdulillah tidak bertindan dengan jadual percutian saya dan kawan-kawan ke Cameron hujung bulan ni. Amboi-amboi, teruja sungguh cik Oda ni kan, lepas bagi salam terus cerita pasal mengundi. Eh nak cerita pasal cuti-cuti Malaysia la, walaupun nak pergi hujung minggu je bukan ambil cuti pun tapi tetap nak panggil cuti-cuti Malaysia.

Saya mahu minum teh sambil menikmati permandangan ladang teh yang cantik itu (^_^)

InsyaAllah saya akan ke Cameron Highland lagi, ehh tahun ni baru sekali ni nak pergi ok. Walaupun tahun lepas pergi 3 kali tapi saya pergi semuanya dengan rombongan yang berbeza. Kali ni saya akan bercuti dengan sahabat selamanya (BFF - kalo korang tak tahu apa bff tu sila google ek), tak sabar pulak nak tunggu hujung bulan ni. Ini adalah pertama kali saya bercuti bersama-sama dengan Cik Sue dan Cik Nuha, semoga percutiaan kami berjalan lancar. Tak nak jalan-jalan sangat pun kali ni, nak menikmati percutian dengan santai je, saya mahu membuang stress yang ada dan menenangkan fikiran (cam patah hati je bunyi dia ek).

Ramai orang yang tanya saya tak bosan ke asyik ke sana je. Hehe, agak-agak korang saya bosan tak? Saya suka ke Cameron bukan sebab nak jalan-jalan tapi saya suka suasananya yang berbeza dari tempat lain kat Malaysia buat saya rasa saya kat negara lain dan Cameron jugak buat saya rasa rileks dan salju je, haha faham tak kalau tak faham tak dapek den nak menolong ehh. Melihat bunga di Cameron dah cukup bagi saya, nak berjalan ke negara empat musim saya tak berapa suka sangat percutiaan yang memenatkan kecuali ke tempat-tempat yang memang saya nak sangat pergi. Ohh saya sangat suka bunga Gerbera tu, walaupun tak wangi tapi sangat cantik. Emm harus berhenti sudah sebab mata dah tak boleh bukak ni (ada hati nak meng'updates' blog tu). Doakan semoga percutiaan kami berjalan lancar ek.

p/s: Cik Along, tak dapat tengok sakura kat Jepun dapat tengok Gerbera kat Cameron pun jadilah..

Monday, April 8, 2013

Jom Mengundi

Assalamualaikum...

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian? Sedar tak sedar dah masuk bulan April ek, huhu macam sebulan sekali je menulis entri baru. Nak kata saya sangat sibuk tu tak adalah sangat tapi boleh tahan la sebab selalu je ada komitmen yang perlu di penuhi. Bila tak ada apa-apa nak buat pulak saya malas nak bukak blog sebab selalu balik lambat. Tiap kali menulis mesti bagi alasan kan, haha korang sabar je la sebab saya memang suka nak cerita kenapa buat-buat sibuk ni.

Betul tu, sibuk mana pun Solat jangan lupa (^_^)

Sambil menulis ni sambil tengok ABPBH, tau tak apa tu? Kalau korang tak tahu mesti korang tak duduk Malaysia ataupun tak suka tengok cerita hiburan tempatan. Anugerah Bintang Popular Berita Harian la, saya pun baru je keluar tengok sebenarnya. Tadi masa dengar lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi keluar tengok, maklum la peminat lagu rock kapak ni tak boleh dengar lagu-lagu 90an dia jadi teruja, haha motif?? Ini pun nak cerita ye dakk?? Tahniah la pada yang menang-menang semua ek.

Bulan ni dah mula terasa aura nak mengundi kan. Korang dah daftar belum? Rasanya kalau yang lebih kurang sebaya saya ni memang patut dah mendaftar sebab ini kali kedua saya mengundi. Hehe, agak teruja la jugak walaupun banyak kali saya terpaksa tunda percutian hanya kerana tarikh mengundi yang masih samar-samar tu. Walau apa pun undi korang sila buat keputusan yang korang rasa terbaik, bagi saya tak ada mana-mana parti yang lebih baik atau lebih buruk. Tengoklah calon yang anda akan undi tu dan buat keputusan, jangan mengundi membabi buta ek. Paling penting korang kena mengundi, baik menyesal salah undi daripada tak mengundi langsung. Bagi saya kalau korang tak mengundi maka korang tak ada hak nak cakap apa pasal parti, kerajaan dan yang seangkatan dengannya. Jadi jom KITA PILIH MENGUNDI!


Jom Mengundi!

Huhu, semangat tak saya? Saya ni orang Kelantan, jadi mengundi tu sangat meriah kat tempat kami ni. Kalau kat KL ni ada bendera merata-rata, kat Kelantan tu sampai tak nampak benda lain la selain bendera-bendera tu. Tahun ni pulak perang bendera agak kreatif sebab diaorang buat design macam-macam pulak, itu saya tengok masa balik Kemaman hari tu la. Tapi kadang-kadang bila tengok rasa macam membazir pulak diaorang ni. Apa pun selamat mengundi semua, ingat setiap undi tu penting bak kata pak cik Kennedy tu undi korang boleh membawa perubahan.

p/s: Jangan lupa jugak yang undi adalah rahsia jadi jangan tanya saya nanti saya undi siapa..(@_@)

Tuesday, March 19, 2013

Semangat yang Hilang

Assalamualaikum...

Apa khabar blog tersayang, saya sangat rindu sama kamu. Tak berniat nak meminggirkan kamu tapi kemalasan melanda diri, di tambah lagi dengan jadual saya yang sangat padat membuatkan saya tak berkesempatan nak menulis entri baru. Jadual buku saya juga sudah agak ketinggalan, sekarang saya ketinggalan empat buku, tak tahu la macam mana nak mengejar jadual saya tu.

Jom cari kembali semangat yang hilang (sambil nyanyi lagu semangat yang hilang XPDC tu)

Macam-macam alasan je ek, saya tak tahu la kenapa kemalasan yang amat melanda diri saya. Ada macam-macam perkara yang saya nak buat bulan ni sebenarnya, nak isi borang LHDN (efiling) lagi, nak memulakan perjalanan mengejar mimpi baru dan ada dua tiga niat yang nak ditunaikan tapi tak ada satu pun saya mulakan lagi. Apa nak jadi la, saya tahu tak baik bertangguh dalam pekerjaan ni tapi bila kemalasan melanda diri susahnya nak memaksa diri menaikan momentum diri, mencari semangat yang hilang.

Saya rasa saya perlu buat perancangan satu-satu ni, selalunya bila saya mahu buat dua tiga perkara pada satu masa saya jadi kelam kabut dan tak tahu mana nak mula dulu. Bila ada banyak perkara yang saya nak buat saya jadi terkejar-kejar nak cepat habiskan kerja padahal tak semua kerja saya tu perlu siapkan dalam masa terdekat, haihh. Kena setkan keutamaan ni, perkara yang penting dan yang perlu didahulukan mesti buat dulu, yang mana boleh buat kemudian kita ketepikan dulu. Hehe semoga semangat diri saya kembali semula ek.

"Bermimpilah, kerena tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu"
-Arai (Sang Pemimpi:Andrea Hirata)-

Macam ni la bila dah tak belajar, kalau dulu saya selalu sibuk jadi bila ada banyak kerja pun saya boleh buat sebab momentum diri tu tak pernah padam. Bila kita membiasakan diri membuat kerja semua akan jadi kebiasaan dan tak rasa tekanan sebab beban kerja yang banyak. Sekarang ni kan banyak bersenang-lenang, tu yang jadi manja sangat tu, penat sikit dah mula bising. Saya bercadang mahu memulakan mimpi baru sebenarnya tapi agak takut mahu memulakan perjalanan maka saya akan cuba memulakan sedikit-sedikit, pelan-pelan kayuh InsyaAllah kita akan sampai ke destinasi.

p/s: Doakan saya melaksanakan mimpi-mimpi saya ek (^_^)

Thursday, February 28, 2013

Senyum

Assalamualaikum...

Salam hari jumaat yang indah buat kawan-kawan. Saya sangat rindu untuk menulis sepatah kata di blog saya yang sunyi sepi ini. Tak ada idea pun nak menulis cuma nak kongsi senyuman dengan korang, harapnya hari jumaat korang semua ceria je ek.

Someone told me 'Senyum tu sedekah even in text"

Bila saya melihat gambar ni je teringat pada kawan saya, katanya "Senyum tu sedekah even in text". Dengan kata-kata macam tu dalam mesej pun dah buat saya tersenyum apa lagi kalau kita menghadiahkan kawan kita dengan senyuman kan. Jadi jom sama-sama kita ceriakan jumaat kita dengan senyum untuk kawan-kawan kita dapat jugak pahala kat kita sebab namanya pun sedekah kan. (^_^)

p/s: Hari terakhir sebelum hujung minggu jadi ceriakan diri awal-awal untuk hujung minggu yang ceria jugak.

Saturday, February 16, 2013

Ulasan Buku : Coklat (Yang Manis)

Assalamualaikum...

Dah agak lama saya tak buat ulasan buku kan, buku mingguan pun saya tak kemas kini lagi. Walaupun dengan kemalasan saya untuk mengemaskini label buku mingguan saya tu, Alhamdulillah saya masih belum tergelincir dari landasan untuk merealisasikan azam satu minggu satu buku saya tu. Semalam saya berjaya menamatkan buku minggu ke tujuh saya iaitu Coklat (yang manis) karya John Norafizan.

Cover buku ni pun comel kan

Ini adalah buku pertama karya John Norafizan yang saya baca dan saya sangat menyukainya. Saya membeli buku ni sebab saya agak suka buku dari Adiwarna (penerbit buku). Karya dari Adiwarna menggunakan gaya bahasa melayu lama sedikit dan kertas yang digunakan (saya suka kertas yang warna kuning tu) tu buat saya rasa nostalgia membaca novel melayu lama. Yup, saya agak suka buku yang ada gaya bahasa melayu lama, nada bahasanya lebih indah dan puitis. Pulak tu dalam novel coklat ni ada beberapa stanza yang manis.
Untuk Aliya (pelangi itu akan jadi lebih dari tujuh warna apabila engkau ada.):

Bunyi kecapi dilantun tenang,
Destar seradi letak bertanjak,
Geruh berbatu lagi dikenang,
Inikan pula tanah berjejak!


Daripada: Amirul
Seperti tajuk bukunya coklat (yang manis), ceritanya memang manis buat saya tersenyum-senyum membacanya. Walaupun ada dua tiga perkara yang saya tak berapa faham dalam cerita ni tapi saya abaikan kerana kemanisan ceritanya. Rasa seperti membaca novel yang ditulis oleh penulis muda yang sangat tulus hatinya. Selain stanza-stanza yang manis, novel ini diselitkan dengan cerita-cerita etnik yang menarik. Saya masih terseyum bila mengingati cerita ini, hehe (^_^).
"Anda suka hari yang macam mana, hari mendung, hari berangin atau hari suram?"
p/s: Saya suka hari berangin seperti Aliya dan Amirul

Friday, February 15, 2013

Masalah

Assalamualaikum...

Salam hari Jumaat, selamat hari yang baik-baik. Dah malam-malam buta ni baru saya nak menulis ek, tepat pukul 12 pagi saya bukak blog tadi. Sebenarnya tak ada niat pun nak menulis entri baru hari ni tapi saya agak susah hati dan rasa mahu menulis. Saya bukan susah hati dengan masalah sendiri tapi dengan kawan satu pejabat dengan saya. Dah tiga empat hari tak datang kerja dan minggu lepas pun sama, risau pulak saya dibuatnya.

Masalah itu adalah Ujian Allah kepada kita

Besar agaknya masalah dia sampai tak boleh nak datang kerja, bila saya tanya dia tak nak cerita. Mula-mula tu saya agak geram jugak la kan, tapi bila dah dua minggu macam ni buat saya risau pulak. Ye la kan kalau dah macam ni sekali sampai dia tak datang kerja mesti dia ada masalah yang besar. Kawan saya ni sangatlah pendiam, kami semua jarang bercakap dengan dia. Tak ada orang yang tahu pasal masalah dia tu, dengan sifat pendiam dia tu buat semua ni jadi satu misteri pulak. 

Saya rasa bersalah sebab jarang bercakap dengan dia, kami semua satu team sangat rapat tapi dengan dia je jarang bercakap sebab dia memang susah nak bercakap, haihh. Macam mana ek nak buat orang yang pendiam untuk membuka hatinya kepada kita. Saya suka berbual dengan dia sebab dia antara orang membuat saya yang selalu ada perkara nak cakap speechless, haha saya selalu terkedu bila berbual dengan dia. Selalunya kami berbual melalui messenger atau sms je sebab dia memang susah nak buka mulut, macam ada emas dalam mulut dia tu. 

Semua orang asyik bertanya dengan saya apa masalah dia, macam-macam teori dah saya buat bila fikir pasal kawan saya ni. Apa pun, saya harap dia dapat selesaikan masalah dia cepat-cepat, melihat kawan bermasalah buat saya pun rasa susah hati.

p/s: Korang semua pun kalau ada masalah kongsi la dengan siapa-siapa yang korang percaya, jangan simpan nanti jadi racun dalam diri..

Tuesday, January 29, 2013

Oh Suara..


Assalamualaikum...

Selamat kembali bekerja semua, hari ni saya di rumah kerana bercuti sakit. Perubahan cuaca di Kuala Lumpur yang asyik hujan sahaja membuatkan saya sakit tekak dan semalam saya kehilangan suara saya langsung tak boleh bercakap. Saya ke office jugak semalam walaupun tak ada suara dan tengah hari dah balik sebab saya tak boleh buat kerja, maklum la kerja saya ni perlu saya boleh bercakap.

Saya sangat stress tak boleh bercakap ni sebab nak berkomunikasi pun susah, geram sangat tak dapat nak sampaikan apa yang saya rasa. Pulak tu saya ni orang yang sangat suka bercakap jadi memang susah sangat rasanya nak diam tak bercakap. Baru merasai betapa besarnya nikmat boleh bersuara ni, saya memang tak boleh bayang langsung kalau saya tak boleh bercakap. Sebab dah terlalu biasa boleh bercakap kita tak tak menghargai dan bersyukur dengan nikmat yang kita ada. Macam-macam perkara tak boleh kita buat bila hilang suara ni tau jadi mari kita sama-sama hargai nikmat bersuara yang kita ada.

Jom merasa kebahagian dengan mensyukuri nikmat yang Allah beri (^_^)

Bila tak ada suara ni nak menyanyi pun tak boleh tau, hehe saya bukan la suka menyanyi sangat pun tapi kalau dengar lagu selalu la nak menyanyi sama-sama. Sekarang ni saya suka tengok Konsert Les Miserables, lagu-lagu Les Mes sangat sedap buat kita rasa nak menyanyi sama. Kalau saya buat kerja saya suka dengar lagu-lagu dari Les Mes, sekarang ni pun sambil menulis blog sambil dengar lagu Les Mes. Eh bercerita pasal Les Mes la pulak, lari dari tajuk dah ni.

Kagum pulak bila saya fikir yang saya tiba-tiba je hilang suara, Allah nak saya muhasabah diri dengan nikmatNya. Saya tak rasa sakit pun cuma batuk sikit-sikit je tapi langsung tak boleh nak keluarkan suara. Alhamdulillah hari ni dah keluar sedikit suara  walaupun ala-ala Ramli Sarip tapi ok la dari tak ada suara langsung kan. Doakan saya cepat sembuh ek, cuti sehari pun saya sangat bosan kat rumah ni kalau kena cuti lagi saya tak tahu la nak buat apa.

p/s: Saya geram jugak sebab tak boleh menyanyi dalam kereta, hehe saya kalau memandu sorang-sorang kerja dia melalak je dalam kereta.

Monday, January 28, 2013

Hujung Minggu

Assalamualaikum...

Salam permulaan minggu baru dan isnin biru (Monday Blues) untuk saya sebab saya kerja hari ni. Macam mana hujung minggu korang, mesti seronok kan sebab cuti sampai tiga hari. Orang wilayah persekutuan lagi  la minggu ni pun cuti tiga hari jugak sebab jumaat ni hari wilayah. Saya orang Selangor tak cuti tapi budak-budak rumah semua cuti, emm kalau Selangor kerja pun kemungkinan besar saya akan kerja jugak kan jadi tak kesah pun la. Hujung minggu lepas saya sangat seronok sebab macam-macam hal saya sempat buat, hantar parcel ke Along, bersantai dengan Cik Nuha, berombongan Cik Kiah ke Jalan TAR dan berjalan-jalan cari makan di Mines, huhu penuh aktiviti saya di hujung minggu kan.

My favorite days of the week (^_^)

Macam biasa saya selalu cerita saya jarang tak ada aktiviti di hujung minggu, maklum la kami orang bujang ni ada je aktiviti yang kami rancang. Kadang-kadang tu sampai saya rasa tak larat la asyik ke hulu ke hilir je, tapi kalau duk kat rumah je saya bosan pulak, rasa macam tak produktif je. Jadual saya sekarang sampai tengah bulan depan penuh je, banyak pulak perkara yang perlu saya hadiri dan janji untuk ditepati, huhu macam menteri pulak rasa dia. Selalunya kalau saya sibuk sangat saya malas nak menulis entri baru tapi tahun ni saya harap saya menulis banyak sikit sebab bila tengok bilangan entri tahun lepas tu sikit la sangat.

Minggu depan ada pesta buku 1Malaysia, saya sangatlah mahu pergi tapi ada komitmen yang akan membuatkan saya sibuk sepanjang hujung minggu depan. Ingatnya saya mahu mencuri masa ke sana jugak sebab saya ada beberapa buku yang sedang saya cari, kalau nak tunggu pesta buku antarabangsa bulan april ni lambat lagi. Cerita pasal buku, Alhamdulillah cabaran buku saya berjalan lancar dan setakat ni saya agak kehadapan dengan bacaan saya, doakan supaya momentum saya akan berterusan ek.

Awal tahun ni saya asyik bercerita tentang buku je kan, saya sangat seronok sebenarnya bila minat membaca saya kembali semula seperti zaman kanak-kanak remaja dulu, pantang jumpa buku semua nak baca. Emm saya dah mula rasa mengantuk la (saya menulis entri ni pukul 12 setengah pagi), esok pulak kena kerja jadi saya harus berhenti menaip. Kita jumpa lagi di entri seterusnya ek.

p/s: Thaipusam pun Oda kerja lagi, siapa nak ikut meh....

Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidur Rasul

Assalamualaikum....

Salam Maulidur Rasul. Selawat dan Salam buat Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Cuti umum maulidur rasul korang buat apa? Oda macam biasa la, sambut maulidur rasul kat pejabat je, huhu. Tadi rasa macam nak menulis panjang je entri kali ni tapi tiba-tiba je tak tahu nak tulis apa. Apa pun harap cuti maulidur rasul korang bermakna ok, meh kita banyak-banyak selawat buat rasul junjungan semoga kita beroleh syafaat.


Salam Maulidur Rasul

p/s:  Sape nak ikut saya pergi kerja? Jommm....

Wednesday, January 16, 2013

Ulasan Buku Minggu 2 dan 3

Assalamualaikum...

Salam penuh ceria dari saya, gembira sangat hari ni sebab setelah dua minggu bergelandangan mencari air akhirnya air paip kami kembali mengalir seperti dulu, Alhamdulillah. Seksa tau hidup tanpa air ni, setiap masa nak kena risau pasal air, rasa nikmat sangat bila hidup kembali seperti biasa. Saya sebenarnya bukan nak cerita pasal air, nak cerita pasal cabaran buku saya tu la. Akhirnya saya berjaya menghabiskan 'The Great Gatsby' karya F. Scott Fitzgerald dan juga hari ini juga berjaya menghabiskan buku 'Ketuk Pintu Hati Dia' karya Ana Farhana jadi cabaran minggu 2 dan minggu 3 selesai. Nak buat ulasan buku ke tak ek, emm saya macam agak malas je nak menulis ulasan sebab kedua-dua buku ni saya kurang suka, boleh tahan je la. 

Minggu 2 : The Great Gatsby Oleh F. Scott Fitzgerald

The great gatsby ni buku 'american classic', dianggap sebagai salah satu great american novel. Saya sebenarnya tak faham tang mana yang hebat sangat entah, mungkin sebab penulis dia menulis tentang realiti hidup masa zaman tu kot. Saya rasa penulis meleret-leret bercerita tentang hal yang tak relevan padahal jalan cerita dia sebenarnya tak banyak pun. Sebenarnya dah lama nak baca buku ni jadi agak kecewa bila ia tidak memenuhi cita rasa saya. Masa saya google tentang buku ni saya dapat tahu yang ada filem adaptasi dari buku ni akan keluar tahun ni, Leonardo DiCaprio memegang watak utama. Dah tak berminat nak menonton filem ni sebab buku dia tak best tapi saya suka Leonardo sebab dia memang pandai pilih filem, saya suka hampir semua filem yang dia lakonkan. Walaupun saya rasa agak bosan membaca buku ni tapi itu sekadar pendapat saya sahaja, ramai je orang yang suka buku n.

The Great Gatsby Movie Adaptation

Minggu 3 :  Ketuk Pintu Hati Dia Oleh Ana Farhana

Buku seterusnya adalah Ketuk Pintu Hati Dia, emm novel ni pun agak biasa je, tidak termasuk dalam kategori kegemaran saya la. Boleh tahan sahaja jalan cerita dan gaya penceritaan dia, saya rasa agak kebudak-budakan sedikit. Perkara yang bagus tentang novel ni adalah ceritanya ringan, tidak terlalu berat yang buat kita rasa nak baling je buku bila baca jadi bila membacanya emosi saya tidaklah turun naik, hehe. Kadang-kadang bagus juga baca bacaan ringan sebab kita tak perlu berfikir sangat dan santai masa membaca. Saya ambil masa setengah hari je untuk habiskan buku ni, hehe maklum la baru lepas baca buku inggeris klasik, bila baca buku melayu laju je la jadinya. 

Pendek je kan ulasan saya, tak ada idea nak ulas macam mana. Agaknya semua entri baru saya akan bercerita tentang buku je ek lepas ni, harap korang tak rasa bosan bila baca. Bukan tak nak menulis entri tentang benda lain tapi sekarang ni tengah semagat membaca jadi saya tak ada idea nak tulis pasal benda lain. Sampai kita jumpa lagi di entri yang seterusnya ok (^_^).

p/s: Rasa macam tak percaya je bila sampai kat rumah tengok ada air mengalir dari paip, rasa nak menari-nari riang je, huhu.

Saturday, January 5, 2013

Ulasan Buku : 5 Tahun 5 Bulan

Assalamualaikum...

Setelah seminggu berlalu, krisis air di rumah kami masih belum berakhir. Sepanjang seminggu ni baru dua kali air masuk rumah kami, itu pun sekejap je. Tak tahu la berapa lama lagi masalah ni nak selesai, harap pihak SYABAS segera la selesaikan masalah ni ek. Letih tau kami semua, macam pelarian la pulak, hari ni hujung minggu sepanjang hari di pejabat Cik Rozila je. 

Ok la, saya bukan nak cerita masalah air tapi nak cerita pasal buku pertama untuk cabaran satu buku seminggu 2013 saya. InsyaAllah kalau saya berkesempatan dan rajin saya akan buat ulasan buku-buku yang saya baca jadi kalau tak ada tu maknanya sama ada saya sibuk atau saya malas nak menulis, hehe. Buku pertama yang saya pilih adalah 5 Tahun 5 Bulan oleh Hlovate. Sebenarnya buku ni dah lama saya baca tapi tak habis, saya pun tak tahu kenapa tak boleh nak habiskan. Padahal kalau ikutkan saya ni kalau baca novel melayu cepat je.

5 Tahun 5 Bulan oleh Hlovate

Saya kurang berminat sikit dengan buku ni, agaknya Hlovate menulis buku ni masa zaman remaja jadi saya rasa cara penceritaannya agak kebudak-budakan sikit dan sedikit personal. Saya dah baca banyak karya Hlovate, saya rasa gaya penceritaan dalam buku ni lain sikit dengan yang lain. Tapi itu pendapat saya je la kan. Baca buku ni buat kita rasa kita pun budak yang tengah buat medic kat Aberdeen tu. Banyak jugak terma-terma atau bahasa perubatan dalam buku ni yang buat kita pening sikit. Apa pun keseluruhan cerita 5T5B ni ok, walaupun jalan cerita macam biasa kita dengar tapi gaya penceritaan Hlovate yang santai dan sempoi memang memikat hati. 

Tak macam ulasan buku pun kan, macam pendapat peribadi je Oda ni. Haha, saya mana la reti sangat nak buat ulasan-ulasan ni jadi saya tulis je la apa yang saya rasa. Buku untuk minggu kedua sudah saya mula baca tapi sangat perlahan kemajuan bacaan saya ni sebab baca buku klasik jadi lambat sikit. Buku apa yang saya baca, hehe nanti esok saya letak gambar novel tu kat tepi blog saya macam biasa. Harap-harapnya sempat la habis sebelum hujung minggu depan ek.

p/s: Hint buku minggu dua adalah bahasa inggeris dan klasik, sebab tu la yang lambat nak habis tu.