Friday, August 26, 2011

Balik Kampung

Assalamualaikum...

Entri terakhir saya sebelum pulang berhari raya di kampung. Alhamdulillah walaupun saya bercuti tak lama untuk raya kali ini, saya dapat juga pulang awal ke kampung halaman. InsyaAllah pagi Jumaat 26 Ogos saya akan bergerak pulang ke Kemaman. Doakan perjalanan saya selamat hendaknya.




Sempena hari raya yang bakal menjelang tiba, saya disini ingin memohon ribuan ampun dan maaf jikalau ada salah dan silap. Selamat menyambut lebaran yang mulia, semoga kita semua beroleh kemenangan. Walaupun syawal bakal tiba harapnya ramadhan tidak akan dilupa, masih ada berbaki 4 hari sebelum berakhir jadi jom kita cuba dapatkan sebanyak mungkin pahala ok.

Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin!
(HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Saya akan bercuti selama seminggu, khamis depan akan kembali ke Kuala Lumpur semula. Selamat bercuti semua dan semoga semua selamat pulang ke kampung masing-masing dan selamat kembali ke Kuala Lumpur nanti. (^_^)

p/s: Saya dapat kad raya pertama dan mungkin yang terakhir untuk tahun ini semalam, huhu.

Sunday, August 21, 2011

Cerita di 10 terakhir ramadhan

Assalamualaikum...

Dah sampai ke 10 terakhir ramadhan kita ek, apa lagi kalau engine dah panas di awal ramadhan harapnya 10 terakhir ni berjalan dengan lancar dan harapnya lebih lagi. Kalau boleh 10 malam terakhir ni kita gandakan lagi amal-amal, kalau tak cuba mendapatkan pahala berganda rugi. Bulan puasa ni, semua amal kebaikkan dapat pahala, bayangkan dengan cuma bersahur kita dapat pahala seperti membaca 50 ayat Al-Quran walaupun cuma makan sebiji kurma dan minum segelas air masak kalau amalan lain apatah lagi kan.

Bulan Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirnya adalah kemerdekaan (dilepaskan) dari neraka
-Riwayat Imam Muslim-

10 malam terakhir ni jugak ada malam kemuliaan - Lailatul Qadar. Saya doakan kita semua dapat bertemu dengan Lailatul Qadar, kalau mahu bertemu kenalah mula mencari. Rasanya kita semua pun dah tahu tentang kelebihan Lailatul Qadar ni kan, jadi tak payah la saya cerita panjang lebar. Kalau pergi terawih hampir di setiap malam ustaz akan ingatkan tentang malam kemuliaan ni.


Kalau dah nak sampai di hujung puasa ni, ramai la yang sedang sibuk dengan persiapan hari raya kan. Masa-masa ni kalau pergi ke SOGO atau Jalan TAR mesti sesak dengan ramai orang. Jadi sekiranya korang adalah diantara mereka semua, sila berhati-hati dan banyakkan bersabar ok. Kita banyak hilang pahala dibulan puasa disebabkan perkara-perkara kecil, bulan puasa ni memang banyak menguji iman sebab bulan ni kita (saya le tu) mudah betul marah-marah, alasannya sebab lapar dan letih. Saya pun sedang belajar cara mengurangkan kemarahan, harapnya saya menjadi lebih sabar di hujung ramadhan ini.

Saya tak bercakap pasal cuti raya tahun ni, biasanya entri saya di bulan puasa banyak bercakap tentang cuti hari raya. Emm tahun ni saya cuti tak lama sebab ada kerja di pejabat, ada projek baru masuk jadi saya harus kembali ke pejabat lebih awal. Hari jumaat, 2hb September saya sudah berada di Kuala Lumpur. Saya sangat sibuk sekarang, harapnya lepas raya nanti kerja akan berkurangan sebab semester satu untuk tahun 2011/2012 akan bermula 17 september nanti jadi saya akan mula sibuk dengan kelas dan tugasan lagi. Doakan saya semoga dapat melalui tahun kedua saya dengan jayanya, InsyaAllah.


Selingan, Lagu Suara Azan oleh Fitri Haris ni sangat best (^_^)

Itu je la cerita yang saya ada setakat ini, nak menulis lebih panjang tapi tak ada cerita menarik. Aura raya dah rasa belum, saya masih belum lagi padahal lagi berapa hari je lagi nak balik kampung ni. Kerja kat pejabat yang banyak buat saya tak rasa ada perubahan samada awal ramadhan atau hujung ramadhan, kejap je hari ni dah masuk hari ke 21. Akhir entri ni saya ingin ucapkan salam 10 terakhir ramadhan buat semua, jom tambah amalan banyak-banyak, manalah tahu kalau kita tak dapat bertemu ramadhan tahun depan.

p/s: Saya rindu nak dapat kad raya, dah lama tak dapat kad (@_@)

Monday, August 15, 2011

1/2 Ramadhan

Assalamualaikum...

Dah masuk pertengahan Ramadhan dah kita, sejak semalam banyak radio dah mula pasang lagu raya dah. Walaupun dah tau dah 15 ramadhan tapi tak ada lagi perasaan nak raya tu kerana saya sangat sibuk di pejabat, hari-hari sampai rumah betul-betul waktu nak berbuka je.



Kesibukkan saya membuatkan badan kepenatan yang amat. Sampai rumah berbuka puasa, lepas tu sembahyang maghrib dan terus bersiap pergi ke surau untuk isyak dan terawih. Surau dekat rumah saya ni ada banyak aktiviti, dekat pukul 11 baru balik dan bila balik check email kejap dan tidur. Kemudian bangun pulak sahur dan subuh, tidur kejap sebelum pergi ke pejabat, dalam pukul 8 pagi gerak ke pejabat lagi. Jadual yang padat membuatkan saya sangat letih di tambah dengan puasa membuatkan badan saya kelesuan sepanjang minggu lepas. Cuti hujung minggu pulak keluar membeli baju raya untuk adik, ayah dan mak.

Alhamdulillah, hari ini kelesuan dan keletihan badan saya sudah berkurang. Mungkin badan saya lambat menerima momentum puasa, setelah 15 ramadhan baru badan saya kurang penat. Harapnya momentum ini akan berterusan hingga ke hujung ramadhan, InsyaAllah. Tadi dalam ceramah di surau, Ustaz cakap solat dan puasa adalah adik beradik, tak boleh tinggal salah satu jadi jom kita tunaikan kedua-dua rukun islam ini, kalau tak tunaikan tak lengkap sebagai umat islam. Kalau boleh rukun islam yang satu lagi iaitu menunaikan zakat pun ditunaikan jugak, jangan lupa tunaikan zakat fitrah ek.

p/s: Lusa Nuzul Quran dan Selangor cuti tapi saya masih akan ke pejabat jugak, haihhh..

Sunday, August 7, 2011

Drama

Assalamualaikum...

Saya pulang ke Kemaman minggu ini, melepaskan rindu kepada ibu dan ayah saya disamping mengambil peluang berbuka dan bersahur bersama-sama. Bertolak ke Kemaman lepas sahur hari sabtu semalam dan bergerak balik ke KL tengah hari tadi. Rasa sekejap je balik, Ma pun cakap balik kejap buat penat je, tapi nak buat macam mana, kami masing-masing agak sibuk dan susah nak dapat cuti. Malam ni kami semua kepenatan walaupun perjalanan takde la jauh mana.

Drama adalah kisah kehidupan

Lupakan kisah saya balik Kemaman, saya sebenarnya nak bercerita tentang drama-drama yang berlandaskan Islam yang semakin banyak sekarang. Nak-nak di bulan Ramadhan ni setiap malam drama yang ditayangkan ada elemen islamik. Dan Alhamdulillah semakin ramai jugak artis kita yang mendapat hidayah dari semua ini dan harapnya makin ramai lagi la yang akan beroleh hidayah, InsyaAllah.

Tapi tak semua drama-drama ini menarik minat saya, sukar rasanya menghasilkan drama yang mendapat tempat dihati ramai orang. Macam mana pun, saya berharap para pengarah ataupun karyawan drama kita dapat menghasilkan drama yang benar-benar boleh dianggap karya islamik, bukan sekadar elemennya sahaja. Kalau boleh janganlah ada aksi atau perkara yang sangat terang dilarang agama kerana itu adalah mesej yang ingin disampaikan melalui drama islamik ini. Saya bukanlah orang yang tahu sangat tentang drama apatah lagi mengenai agama tetapi saya sangatlah teringin menonton drama benar-benar mendukung ajaran agama kita.


Salah satu OST Drama Ketika Cinta Bertasbih - Ya Allah oleh Wali Band

Antara drama yang saya tonton sekarang adalah Stanza Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Drama Stanza Cinta lari sedikit jalan ceritanya dari novel Stanza Cinta yang saya baca sebelum ini, saya berharap pengakhiran ceritanya diubah sekali sebab saya tak suka penamat novelnya. Ketika Cinta Bertasbih pula adalah sinetron yang menyambung kisah filem Ketika Cinta Bertasbih yang juga diadaptasi dari novel. Dah namanya sinetron, agak mencabar buat saya kerana ada 56 episod dan saya baru di episod 17, saya tak tahu bila boleh habis. Kalau tanya saya kenapa saya tak menonton Tahajud Cinta, apa yang saya boleh katakan adalah drama ini kurang menepati selera saya.

Ada satu telemovie menarik di TV1 yang saya tonton semalam bertajuk 100 hari lakonan Zul Huzaimy dan Ridhuan Hashim mengisahkan kisah hidup dua insan yang berbeza cara hidup dalam menempuh detik-detik kematian dari tempoh seratus hari sebelum ajal tiba, ini drama yang benar-benar memberi kesan kepada saya. Panjang pulak entri saya bercerita tentang drama ni kan, hehe. Siapa kata saya tak menonton drama melayu, kalau kena dengan selera saya mesti saya tengok.

p/s: Menonton drama tu boleh tapi semayang terawih jangan lupa ek (^_^)

Wednesday, August 3, 2011

Updates

Assalamualaikum...

Waa sudah tiga hari kita berpuasa ek, camna dengan prestasi iman korang di bulan ini. Prestasi saya tak kemana-mana pun di awal ramadhan ni. Harapannya semoga prestasi saya bertambah dengan jaya nanti, InsyaAllah.


Di bulan puasa ni saya cuba balik seawal yang boleh jadi maknanya saya keluar dari office tepat pukul 6 petang. Sebenarnya jeles jugak tengok orang lain balik awal dan sempat ke bazar ramadhan tapi kerja saya susah nak balik awal. Ini pun sekarang sebab team lead saya tak ada kat office, dia pergi Hong Kong untuk knowledge transfer. Nanti dia balik mesti lagi sibuk la saya, memikirkan pasal office pun dah buat saya pening. Sebenarnya kalau balik awal sempat la saya terawih tapi kalau lambat mesti berkejar-kejaran.

Perkara yang bagusnya balik lambat sikit kerana sejak puasa ni saya tak pernah lagi ke bazar ramadhan jadi kuranglah sedikit keinginan nak makan macam-macam perkarani. Tapi kesian pulak Rozila je yang kena belikan makanan. Nampaknya bazar ramadhan pertama yang saya akan pergi puasa tahun ni di Kemaman sabtu nanti. Tak sabar pulak rasanya nak balik Kemaman hujung minggu ini.

Sekarang ni saya suka menonton drama Ketika Cinta Bertasbih, seronok sebab drama ni sangat banyak pengajaran dan ilmu yang bagus. Kalau korang ada kesempatan tengok la drama ni tapi kena banyak sikit sabar almaklumlah sinetron kan ada banyak benda yang akan buat kita sakit hati lagi-lagi saya yang sedikit emosional ni.

p/s: Huhu entah apa-apa je entri saya kali ini kan, sebenarnya tak tahu nak tulis apa tapi teringin updates blog.